REDZUAN
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Usahawan (KPUN) mahu merancakkan penyertaan usahawan tempatan dalam pelbagai sektor utama khususnya industri rel yang berpotensi tinggi untuk diterokai secara meluas.

Menterinya Redzuan Yusof berkata, ia adalah tanggungjawab kementeriannya memastikan usahawan terus berkembang supaya kumpulan berkenaan dapat memberi sumbangan ketara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Fungsi KPUN adalah berat kerana sejak beberapa tahun ini, kita melihat kumpulan usahawan tidak memberi sumbangan daripada segi pertumbuhan serta perkembangan kepada ekonomi negara.

“Jadi, KPUN dipertanggungjawabkan mewujudkan lebih banyak pencapaian daripada apa yang yang dimiliki ketika ini dengan meneroka lebih banyak industri yang boleh diceburi dan bertindak sebagai pemudah cara serta pengawal selia.

“Apa yang kita belum realisasikan lagi, kita akan cuba capai seperti industri rel yang boleh kita kedepankan seperti usahawan dan vendor yang kompeten bagi pembangunan sektor rel.

“Menerusi inisiatif ini, kita akan mempunyai ramai pakar tempatan dalam industri kereta api dan mencukupi bagi pembangunan dalam infrastruktur sektor ini” katanya selepas lawatan di Tekun Nasional di sini, semalam.

Terdahulu, Redzuan bersama timbalannya Dr Mohd Hatta Ramli diberi taklimat oleh Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tekun Nasional Datuk Baharom Embi dalam lawatan rasminya ke agensi terbabit.

Lawatan itu bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala antara kementerian dengan agensi pembiayaan program keusahawanan itu selain diberi taklimat mengenai program semasa yang dikendalikan.

Redzuan berkata, pihaknya akan memastikan dasar dan program mengenai pembangunan usahawan yang dilaksanakan akan diselaraskan supaya tertumpu untuk melahirkan ramai usahawan tempatan.

“Kita komited mewujudkan kerjasama dan jaringan strategik antara sektor awam dan swasta serta melaksanakan lebih banyak aktiviti membudayakan keusahawanan dalam kalangan rakyat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Ogos 2018 @ 2:49 AM