TEOH di hadapan mesin pengorek.
Hazwan Faisal Mohamad
hazwanfaisal@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Sime Darby Industrial Sdn Bhd, anak syarikat Sime Darby Bhd, menyasar menguasai 15 peratus pasaran mesin pengorek seberat 20 tan dalam tempoh setahun ini.

Ketika ini segmen mesin pengorek 20 tan menguasai 40 peratus daripada keseluruhan pasaran mesin pengorek di negara ini.

Pengarah Urusannya, CK Teoh berkata, sasaran itu sebahagian besarnya akan disumbang daripada pengenalan dua model generasi baru mesin pengorek jenama Caterpillar yang menampilkan pelbagai ciri baru dan canggih, iaitu Cat 320 GC serta Cat 320.

Katanya, pihaknya juga menyasarkan menjual sehingga 150 mesin pengorek Caterpillar baru itu menjelang tahun kewangan syarikat berakhir 30 Jun 2019.

“Caterpillar sebenarnya memperkenalkan tiga model namun satu lagi model iaitu Cat 323 kita tidak bawa masuk kerana merasakan dua model ini sudah cukup untuk memenuhi permintaan pasaran dalam Malaysia.

“Kelebihan model baru ini ialah menawarkan penjimatan bahan api sehingga 20 peratus, meningkatkan kecekapan sehingga 45 peratus dan pengurangan kos penyelenggaraan sehingga 15 peratus yang mana semua ini sudah tentu dapat membantu meningkatkan lagi keuntungan syarikat dan kontraktor,” katanya pada taklimat media ibu pejabatnya di sini, semalam.

Sehingga kini, Sime Darby Industrial sudah menerima tujuh unit tempahan jentera berat itu termasuk daripada pelanggannya yang terbabit dalam projek MRT.

Mengulas lanjut, Teoh berkata, banyak ciri baru yang pertama kali diperkenalkan pada jentera berat sedemikian antaranya butang penghidup enjin, ruang operator berhawa dingin, skrin sesentuh, kerusi boleh laras automatik, GPS dan radio.

Beliau berkata, semua kemudahan ini menawarkan tahap keselesaan yang tinggi kepada pengendali mesin sekali gus meningkatkan produktiviti kerja yang akhirnya meningkatkan keuntungan syarikat.

“Selain itu, dari segi keselamatan, mesin ini dilengkapi banyak teknologi baharu antranya e-lantai yang membolehkan pengendali menetapkan tahap kedalaman pengorekan.

“Dengan ini, ia boleh memastikan kerja pengorekan dilakukan dengan selamat tanpa menjejaskan wayar atau paip yang ditanam di bawah tanah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 10:51 AM