Sri Ayu Kartika Amri
kartika@nstp.com.my


KERAJAAN mengunjurkan industri francais akan menyumbang RM35 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2020.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya menganggap jumlah sasaran itu realistik berikutan tahun lalu industri francais menyumbang sebanyak RM27.7 bilion kepada KDNK.

Katanya, selain itu industri francais juga dilihat semakin mengukuh kerana mempunyai polisi dan insfrastruktur yang baik.

“Jumlah yang disasarkan kali ini adalah munasabah dan saya yakin ia boleh dicapai terutama dengan sokongan terbaik daripada pemain industri yang mana setakat ini terdapat 863 syarikat francais di Malaysia,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pameran Rantaian Peruncit Malaysia 2018 (MIRF) di sini, semalam.

Pameran MIRF 2018 diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai ekspo peruncitan dan francais terbesar di Malaysia.

Pameran ini berlangsung dari 25 hingga 28 Julai 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan dijangka menarik lebih 25,000 pengunjung dari 12 negara seluruh dunia dengan sasaran pendapatan sebanyak RM70 juta.

Sementara itu, Presiden Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA), Datuk Seri Garry Chua berkata, pihaknya menyasarkan sektor peruncitan akan berkembang kira-kira lima peratus tahun ini.

“Kami bekerjasama dengan pemain terbaik industri dan berharap pameran tahun ini akan membuahkan hasil memberangsangkan untuk sektor peruncitan dan francais.

“Platform seperti ini amat penting bagi menggalakkan pertumbuhan industri selaras dengan usaha memanfaatkan kemajuan teknologi, malah ia membantu mengembangkan sektor peruncitan merentasi sempadan serta menjadi pusat dagangan utama prospek perniagaan di Asia Tenggara,” katanya.

MIRF 2018 menyaksikan lebih 300 tapak pameran tempatan dan 35 antarabangsa yang membabitkan pelbagai sektor terutamanya makanan dan minuman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 9:19 AM