TONY (tengah) pada sidang akhbar pengumuman perjanjian pembelian 100 unit pesawat Airbus A330neo di Sepang, semalam.
Ayisy Yusof dan Azzman Abdul Jamal
bisnes@nstp.com.my


Sepang: AirAsia Bhd semalam mengesahkan pembelian 100 unit pesawat Airbus A330neo bernilai AS$30 bilion untuk AirAsia X. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, keputusan itu dimuktamadkan selepas pihaknya membuat analisis selama dua tahun untuk memilih pesawat paling sesuai dalam proses penambahan pesawat AirAsia X.

“Sebelum ini kita melakukan rundingan bersama Airbus dan Boeing untuk menentukan pemilihan pesawat paling sesuai.

“AirAsia X akan menjadi syarikat penerbangan pertama di Asia menggunakan A330neo dengan penghantaran pesawat itu dijangka bermula antara penghujung suku ketiga dan suku keempat 2019.

“Pesawat A330neo akan dikendalikan AirAsia X di Malaysia, Thailand dan Indonesia,” katanya pada sidang media di Sepang, semalam.

Turut hadir, CEO Kumpulan AirAsia Indonesia, Dendy Kurniawan; CEO AirAsia X Malaysia, Benyamin Ismail; CEO AirAsia X Thailand, Nadda Buranasiri dan CEO AirAsia X Indonesia, Kapten Sulistyo Nugroho Hanung. Tony berkata, perjanjian pembelian itu ditandatangani oleh Pengasas Bersama AirAsia dan CEO Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun dan Pengerusi AirAsia X, Tan Sri Rafidah Aziz di International Farnborough Airshow di London minggu ini.

Pesawat A330neo adalah versi terbaharu model A330. Ia menggunakan enjin Rolls-Royce Trent 7000 generasi baru dan bahan komposit yang lebih ringan.

Tony berkata, menerusi gabungan elemen itu, ia menjimatkan penggunaan bahan api sebanyak 25 peratus berbanding pesawat generasi lama yang mempunyai saiz sama.

Katanya, pembelian pesawat itu juga adalah untuk penerbangan jarak jauh ke Eropah termasuk Prague, Vienna dan Sweden.

“Penumpang juga boleh menjangkakan tahap keselesaan tinggi ketika menaiki A330neo menerusi ciri-ciri yang ditawarkan.

“Pesawat ini juga mempunyai kemampuan penerbangan tanpa henti ke Eropah, termasuk dari Kuala Lumpur ke London.

“Ia membolehkan AirAsia X meluaskan model penerbangan jarak jauhnya dengan kos operasi lebih rendah serta membolehkan penumpangnya menaiki penerbangan lebih jauh dengan bayaran lebih kompetetif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 10:12 AM