WAN Saifulrizal (kiri) bersama Pengarah Produk PruBSN, Ikhtar Ismail pada majlis pelancaran PruBSN Setia dan PruBSN Impian, semalam.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@nstp.com.my


Kuala Lumpur: Prudential BSN Takaful (PruBSN) memperkenalkan PruBSN Setia dan PruBSN Impian, dua pakej perlindungan takaful yang komprehensif dan boleh diubah suai mengikut pelanggannya.

Ketua Pegawai Pemasarannya, Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata, dua produk takaful itu juga adalah selari dengan usaha syarikat untuk mencapai sejuta pelanggan menjelang tahun ini berbanding 850,000 pelanggan ketika ini.

Beliau berkata, PruBSN Impian disasarkan kepada golongan pekerja yang ingin menaik taraf pelan pelindungan sedia ada manakala PruBSN Impian adalah perlindungan lengkap kepada anak mereka sebelum dilahirkan.

“Dua pakej terbaru ini adalah berasaskan pelan takaful utama, PruBSN AsasLink yang menyediakan manfaat kematian dan kehilangan upaya kekal dan menyeluruh bersama pilihan pelan tambahan.

“Malah, kami juga yakin ia dapat menjadi pemangkin untuk meningkatkan kadar kesedaran mengenai kepentingan perlindungan takaful, sekali gus merealisasikan rekod sejuta pelanggan pada tahun ini.

“Selain itu, dalam tahun ini juga selain produk sedia ada ini, kami turut mempunyai perancangan untuk melancarkan beberapa produk baru,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran PruBSN Setia dan PruBSN Impian di sini, semalam.

PruBSN Setia adalah pakej takaful lengkap yang memastikan pekerja mendapat perlindungan tambahan dan masa depan kewangan yang lebih terjamin menggabungkan pelan perubatan, penyakit kritikal, kemalangan dan penggantian pendapatan.

Sementara itu, PruBSN Impian pula menyediakan ibu hamil dengan pelan perlindungan pranatal, perubatan, penyakit kritikal dan simpanan bagi memastikan perlindungan sepenuhnya dari usia seawal 14 minggu dalam kandungan hinggalah berusia 100 tahun.

Katanya, pelanggan juga mempunyai pilihan untuk menambah HealthProtector, pelan perubatan yang disediakan bersama pakej baru itu yang akan membayar balik perbelanjaan hospital dan rawatan pesakit luar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 9:50 AM