CAWANGAN Tealive di Pavilion, Kuala Lumpur.
HM Digital

Kuala Lumpur: Loob Holding Sdn Bhd, Pemilik jenama teh buih, Tealive mengumumkan semua cawangan Tealive beroperasi seperti biasa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bryan Loo dalam kenyataan berkata, peguam syarikat itu memaklumkan Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonannya menangguhkan perintah Mahkamah Rayuan bertarikh 27 Jun.

“Bagi pihak Tealive, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang atas kepercayaan dan sokongan mereka yang berterusan. Peguam kami akan terus mengendalikan hal mahkamah sehingga resolusi akhir,” katanya.

Pada 27 Jun 2018, Mahkamah Rayuan membenarkan injunksi syarikat Taiwan, La Kaffa International Co Ltd terhadap Loob Holding daripada menjalankan perniagaan minuman teh buih.

Pertikaian antara Loob Holding dan La Kaffa bermula pada awal Disember 2016 apabila syarikat Taiwan itu menamatkan perjanjian francais induk di antara kedua-dua belah pihak walaupun perjanjian masih berbaki 20 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 11:19 AM