KYLE
Nabil Basaruddin
cnews@nstp.com.my


Kuala Lumpur: Coway (M) Sdn Bhd (Coway), syarikat pengeluar produk penulen air dari Korea Selatan menyasarkan untuk mencapai jualan 540,000 unit pelbagai produk yang ditawarkannya di pasaran Malaysia pada 2019.

Pengarah Urusannya, Kyle Choi Ki Ryong berkata, dengan unjuran jualan itu juga pihaknya yakin dapat mengekalkan kedudukan teratas dalam penguasaan pasaran di negara ini menerusi beberapa inisiatif strategiknya.

Beliau berkata, antara usaha terbabit ialah memperkenalkan lima produk pada separuh kedua tahun ini selari dengan pengukuhan sentimen dalam kalangan pengguna di Malaysia.

“Sehingga Januari tahun ini, Coway mempunyai 34 peratus pegangan pasaran berbanding pesaing terdekatnya, dalam sekitar 10 peratus dan menjual 200,000 unit produk pada separuh pertama 2018.

“Kami mahu mengekalkan momentum kehadiran serta pengukuhan dalam pasaran negara ini yang mempunyai prospek meluas menerusi produk yang ditawarkan.

“Jadi, dengan pelancaran produk baru pada separuh kedua tahun ini, kami terus menjadikan segmen perniagaan kepada pengguna (B2C) sebagai fokus utama.

“Pada masa sama kami masih mempertimbang untuk meneruskan promosi berpatutan yang dapat dinikmati dan dimanfaatkan oleh golongan B40,” katanya.

Coway Malaysia mempunyai tiga produk popular yang menjadi perhatian ramai dari tiga segmen iaitu premium, pertengahan dan komersial yang masing-masing dikenali sebagai Villaem, Neo dan Core.

Kyle berkata, pihaknya pada bulan ini melancarkan produk terbarunya iaitu Lucy, mesin penghasil ais yang juga bertindak sebagai penapis dan penulen air.

“Pada mulanya kami merasakan produk ini tidak akan mendapat permintaan memandangkan berdasarkan kajian awal, rakyat Malaysia lebih menggemari air suam berbanding sejuk.

“Bagaimanapun, setelah meneliti keadaan pasaran, kami yakin ini adalah masanya untuk membawa produk ini ke dalam pasaran di negara ini,” katanya.

Selain itu, syarikat itu kini berada pada landasan tepat untuk mencapai jumlah pelanggan yang kesejuta pada hujung tahun ini yang mana ketika ini pihaknya mencatatkan 800,000 pelanggan.

Kyle berkata, perkara itu boleh dicapai berdasarkan kepada prestasi oleh 7,800 ejen jualan aktif yang giat mempromosi serta memasarkan produk keluaran Coway kepada orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 9:57 AM