GAMBARAN pembangunan KLIA Aeropolis.
Nurhayati Abllah
nurhayatiabllah@nstp.com.my

Kuala Lumpur : Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) meneruskan usaha mempromosi dan menarik pelaburan langsung asing (FDI) melalui dua lokasi utama iaitu KLIA Aeropolis dan pembangunan Taman Aerotech Subang.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, MAHB kini dalam usaha melengkapkan ekosistem pembangunan KLIA Aeropolis yang mana ia merangkumi keluasan 100 kilometer persegi di Sepang.

“Pembangunan KLIA Aeropolis memfokuskan kepada pembangunan hartanah luar terminal serta melengkapkan operasi lapangan terbang MAHB sedia ada manakala Taman Aerotech Subang, ia fokus kepada pelaksanaan Inisiatif Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang.

“Pelaksanaan usaha itu sejajar matlamat serta aspirasi MAHB untuk merealisasikan agenda Industri 4.0,” katanya pada pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MAHB dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia Bhd (MIDA), di sini, semalam.

Majlis itu ditandatangani bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk N Rajendran.

Raja Azmi berkata, Inisiatif Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang adalah inisiatif strategik MAHB bagi menghidupkan semula ekosistem Lapangan Terbang Subang di mana ia dijangka akan menjadi hab bagi penerbangan perniagaan dan ekosistem aeroangkasa yang lengkap.

“MAHB mengharapkan pembangunan yang dijalankan di dua lokasi strategik itu berjalan lancar dan mampu beroperasi sepenuhnya menjelang 2025,” katanya.

Mengulas mengenai MoU berkenaan, beliau berkata, pihaknya optimis ia akan membantu ke arah meningkatkan jumlah FDI bagi industri aeroangkasa di Malaysia.

“Kita memiliki ramai peserta global utama dalam arena logistik dan terbabit dalam aktiviti penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) yang menyatakan minat mereka.

“Menerusi kerjasama ini, ia akan memberikan lebih keyakinan kepada pelabur bahawa kita sudah melaksanakan sesuatu yang kukuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Julai 2018 @ 8:44 AM