AHMAD (tengah) bersama Kornreich (kiri) dan Wong pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan Alliance Bank ke-36, semalam.
Nabil Basaruddin
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur:Alliance Bank Malaysia Bhd (Alliance Bank) berhasrat untuk mempertingkat pertumbuhan pembiayaan, untung bersih dan pulangan ke atas ekuiti masing-masing sebanyak 10 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Joel Kornreich berkata, pihaknya turut menyasarkan perolehan syarikat turut berkembang sekitar enam peratus bagi tempoh kewangan itu.

Katanya, pertumbuhan bagi empat komponen itu adalah bersandarkan kepada tumpuan institusi perbankan itu dalam segmen pengguna menerusi produk Alliance One Account (AOA) serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Kami optimis untuk mencapai sasaran yang ditetapkan kerana sentimen pengguna mulai pulih selepas kerajaan mengumumkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada kadar sifar Jun lalu.

“Jadi kami melihat terdapat keyakinan terhadap pasaran ketika ini dan berhasrat memberi perhatian yang lebih kepada segmen pengguna dan PKS.

“Selain itu, dengan perkembangan dalam inisiatif teras transformasi kumpulan seperti perluasan perbankan PKS, AOA dan Alliance@Work, kami yakin ia akan menjadi penyumbang kepada prestasi syarikat pada 2019,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Alliance Bank ke-36 di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusinya, Tan Sri Ahmad Mohd Don dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulannya, Raymond Wong Lai Loong.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2018, Alliance Bank mencatatkan pertumbuhan perolehan tertingginya dalam tempoh lima tahun dengan peningkatan sebanyak tujuh peratus kepada RM1.6 bilion.

Kumpulan itu juga memperuntukkan pelaburan berjumlah RM74.2 juta dalam kos penstrukturan, pengembangan jualan serta pemasaran dan teknologi iaitu sebahagian daripada pelan transformasinya.

Kornreich berkata, pencapaian terbaik bagi tahun kewangan tahun lalu adalah kesan strategi yang dilaksanakan dalam mengoptimumkan perniagaan dan usaha tepat oleh Kumpulan.

“Dalam memacu pertumbuhan, kami melabur melalui program transformasi dalam meningkatkan kapasiti jualan, memperkenalkan beberapa inisiatif digital baru dan penstrukturan lebih cekap.

“Malah, ia boleh disaksikan apabila segmen PKS menunjukan prestasi yang baik dengan kelulusan pembiayaan bagi segmen ini berkembang 10.2 peratus kepada RM2.8 bilion,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata, industri perbankan dilihat kekal kompetitif dan sebagai pemain kecil dalam bidang itu, Alliance Bank perlu lebih bekerja keras untuk mencapai lebih banyak kejayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 11:34 AM