RAYMOND (dua dari kiri) bersama maskot animasi sitkom We Bare Bears di TGV Cinemas Sunway Velocity, Cheras, semalam.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@nstp.com.my

Kuala Lumpur: TGV Cinemas Sdn Bhd (TGV Cinemas), operator pawagam terkemuka tempatan merancang mempertingkatkan penguasaan pasarannya menerusi pelbagai inisiatif dalam pelan pertumbuhan operasi.

Pengurus Kanan Jabatan Konsesi TGV Raymond Letchmanan berkata, setakat ini pihaknya mempunyai lebih 30 peratus pegangan pasaran sebagai pengendali pawagam dalam negara.

Beliau berkata, antara usaha dilaksanakan ialah menjalin usaha sama dengan jenama dan francais filem serta siri televisyen popular sebagai tarikan kepada orang ramai.

“Kami mahu mewujudkan lebih banyak kerjasama dengan konsep lebih berinovasi dan tidak hanya berfungsi sebagai pawagam semata-mata.

“Untuk menjadi peneraju segmen ini, kami berhasrat menjadi lebih daripada sekadar apa yang kami ada ketika ini dan seterusnya menjadi penyedia hiburan terbaik kepada orang ramai,” katanya.

TGV Cinemas mempunyai kehadiran di 34 lokasi di seluruh negara dengan kapasiti sehingga 270 paparan skrin dan lebih 45,000 tempat duduk.

Rangkaian pawagam ini adalah yang pertama di Malaysia yang menawarkan pengalaman sinematik yang luar biasa IMAX yang boleh didapati di enam lokasi termasuk di Gurney Paragon (Pulau Pinang), Tebrau (Johor Bahru), 1 Utama (Selangor) dan Sunway Pyramid (Selangor).

Raymond berkata, pihaknya bercadang membuka dua lagi pawagam tahun depan iaitu di i-City Mall, Shah Alam dan PacificCity Mall, Sabah.

“Kami berharap dapat meningkatkan kehadiran di Sabah dan Sarawak kerana yakin ia adalah pasaran yang berpotensi besar diteroka,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Raymod berkata, perniagaan konsesi bagi makanan dan minuman mencatatkan sehingga 50 peratus daripada jumlah perolehan TGV tahun lalu dan jualannya mencatatkan peningkatan positif sejak pelaksanaan kadar sifar cukai barang dan perkhidmatan (GST).

“Kami menurunkan harga barang dan servis seperti yang sepatutnya dan akan menyemak semula harga apabila cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dilaksanakan,” katanya.

Selain IMAX, TGV Cinemas turut menawarkan perkhidmatan kategori pawagam lain seperti INDULGE, Beanie dan LUXE serta Chill*X yang menawarkan pelbagai pilihan makanan dan minuman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 12:46 PM