Syed Zainal Abidin (dua kanan) beramah mesra dengan tiga pemenang utama pertandingan Mesra Bonanza pusingan pertama, semalam.
Nora Mahpar
noramahpar@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Petronas Dagangan Bhd (PDB) menyasarkan peningkatan 20 peratus atau 1.4 juta pemegang kad Mesra PETRONAS menjelang akhir tahun ini disokong penganjuran kempen dan promosi untuk pelanggan setianya.

Ketua Perniagaan Runcitnya Aadrin Azly berkata, sasaran itu menjadikan jumlah keseluruhan pemegang kad Mesra PETRONAS mencecah hampir sembilan juta menjelang Disember ini berbanding tujuh juta sekarang.

“Dengan pelbagai program ganjaran kepada pelanggan kami termasuk kempen Mesra Bonanza, kami optimis sasaran itu mampu dicapai,” katanya pada majlis penyampaian hadiah pemenang Mesra Bonanza pusingan pertama di sini, semalam.

Seramai 44 pemenang membawa pulang hadiah termasuk pakej percutian, motosikal, wang tunai dan alat elektronik.

Kempen berlangsung dari 16 April hingga 31 Disember 2018 menawarkan 165 hadiah bulanan dan 44 hadiah utama setiap dua bulan. Dua lagi pusingan hadiah utama dijadualkan pada Oktober dan Disember 2018.

Hadir sama Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Bhd Datuk Seri Syed Zainal Abidin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Jun 2018 @ 2:47 AM