DARI kiri, Irnyza, Mohd Zamree, Domenic dan Teoh pada pelancaran SMElite, semalam.
Sri Ayu Kartika
kartika@nstp.com

Kuala Lumpur: Hong Leong Bank (HLB) menyediakan saiz portfolio pembiayaan bernilai RM2.5 bilion yang bakal dimanfaatkan 5,000 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi tahun kewangannya bermula 1 Julai 2018.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Domenic Fuda berkata, pihaknya komited membantu PKS mengembangkan perniagaan dengan menyediakan pelbagai pakej pembiayaan menarik.

Katanya, menyedari kepentingan sumbangan PKS kepada pendapatan negara, HLB mengambil langkah memperkenalkan penyelesaian perniagaan digital terbarunya, Perkhidmatan Pembiayaan SMElite.

“Kami memahami cabaran yang dihadapi PKS untuk mengembangkan perniagaan mereka dan HLB komited menyokong pembangunan PKS di Malaysia yang menyumbang lebih 35 peratus kepada keluaran dalam negara kadar (KDNK).

“Skim SMElite adalah antara beberapa produk pembiayaan di bawah HLB dan kami memperuntukkan saiz portfolio berjumlah RM1 bilion bagi skim ini untuk memastikan kami menyediakan PKS dana bagi memperluaskan perniagaan mereka,” katanya pada sidang media selepas pelancaran SMElite di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Perbankan PKS HLB, Terrence Teoh, Ketua Pegawai Operasi Hong Leong Islamic Bank, Irnyza Ngah serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Credit Guarantee Corporation (CGC), Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak.

Sementara itu, Teoh berkata, pihaknya percaya menerusi SMElite, pelanggan PKS baru dan sedia adanya mempunyai akses modal kerja bagi perbelanjaan mengembangkan perniagaan.

“SMElite menawarkan jaminan pinjaman kepada PKS yang layak sehingga RM5 juta untuk pembelian hartanah dan pembiayaan semula yang disertakan dengan keperluan modal kerja sehingga 150 peratus margin pembiayaan.

“Kami menjangkakan sekitar 500 PKS akan menerima manfaat daripada SMElite ini dalam tempoh 12 hingga 18 bulan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 1:42 AM