ADIBAH (tengah) dilantik sebagai Duta Jenama Kempen Pendidikan Pengguna Kebangsaan untuk Liberalisasi Tarif Insurans Motor di Malaysia.
Sofyan Rizal Ishak
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) secara bersama melantik pelakon, pelawak dan penyanyi terkenal tanah air, Adibah Noor sebagai Duta Jenama Kempen Pendidikan Pengguna Kebangsaan untuk Liberalisasi Tarif Insurans Motor di Malaysia.

Pengerusi PIAM, Antony Lee berkata, keputusan melantik selebriti itu sebagai duta dibuat kerana beliau mampu menjangkau semua rakyat Malaysia dan melangkaui umur, jantina, bangsa dan status sosial.

“Kami yakin beliau adalah individu ideal untuk bercakap mengenai kepentingan keselamatan jalan raya dan mempromosikan pemanduan berhemat di Malaysia sekali gus dapat memastikan jalan di negara ini adalah selamat dengan kematian dan kemalangan jalan raya yang rendah,” katanya, semalam.

Objektif kempen ini juga untuk mewujudkan kesedaran mengenai pelbagai produk baru yang berada di pasaran dan menggalakkan pengguna menjadi lebih proaktif dan memilih dengan bijak apabila membeli insurans motor.

Menurutnya, fasa Liberalisasi Tarif Insurans Motor berjalan lancar di mana pelaksanaan kempen itu didapati meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai mengenai manfaatnya.

“Pengguna boleh diberi ganjaran dengan kadar premium insuran lebih rendah dengan menjadi pemandu yang selamat dan pemilik kereta yang bertanggungjawab.

“Kami meningkatkan kerjasama dengan semua pihak berkepentingan untuk mengurangkan kadar kemalangan di seluruh negara dan menetapkan sasaran mengurangkan kemalangan kepada 20 peratus pada tahun ini dan 50 peratus mulai 2020,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PIAM, Mark Lim berkata, trend semasa kemalangan dan kematian akibat kenderaan berat amat membimbangkan di mana penguatkuasaan oleh pihak berkaitan adalah sama penting dengan pendidikan pengguna.

“Insurans motor kini membayar sebanyak RM14.7 juta sehari dalam tuntutan bagi kerosakan harta benda, kecederaan anggota dan kecurian kenderaan di mana jumlah ini mengejutkan dan tidak sepatutnya dicatatkan pada masa depan,” katanya.

Fasa pertama liberalisasi yang bermula 1 Julai 2016 menyaksikan syarikat insurans dibenarkan menawarkan produk baru kepada pengguna pada kadar pasaran dengan pihak ketiga motor sedia ada, produk komprehensif motor serta produk Kebakaran dan Kecurian Pihak Ketiga Motor terus ditawarkan.

Pada 1 Julai 2017, kadar premium untuk Komprehensif Motor serta produk Kebakaran dan Kecurian Pihak Ketiga Motor diliberalisasikan manakala, sebanyak 33 produk insurans motor baru dilancarkan pada 2 Mei 2018.

Laman web PIAM dan MTA menyediakan maklumat mengenai perlindungan insurans yang tersedia di mana pengguna boleh memilih perlindungan berdasarkan keperluan khusus dan menerima sebut harga daripada syarikat insurans yang dipilih.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 1:33 AM