Alzahrin Alias
zahrin@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) menggesa kerajaan menimbangkan pembabitan mereka dalam perlaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan hala tuju industri runcit.

Presiden MRCA, Datuk Seri Garry Chua Kah Seng berkata, MRCA mempunyai lebih 470 ahli membabitkan 30,000 rangkaian kedai dan menjadi antara persatuan utama dalam industri runcit negara.

Chua berkata, sejak kadar sifar cukai barang dan perkhidmatan (GST) diimplementasikan, pihaknya dapat melihat pertumbuhan jualan yang memberangsangkan namun perlu melihat kembali unjuran itu selepas pelaksanaan SST.

“Pemansuhan GST memberi impak besar kepada industri runcit dengan peningkatan kuasa membeli di kalangan pengguna namun kita masih perlu menunggu pelaksanaan SST.

“MRCA menjangkakan SST yang bakal dilaksanakan kelak masih kekal positif dan yakin dengan hala tuju kerajaan dalam meringankan beban pengguna.

“Harga dijangka akan kekal turun, tetapi kerajaan perlu membabitkan kami dalam perbincangan berkenaan terutama mengenai industri runcit.

“Sehingga kini, Majlis Penasihat Kerajaan juga masih belum membuat pertemuan dengan kami dan MRCA mengharapkan ada pertemuan bagi hala tuju industri runcit,” katanya dalam sidang media Jawatankuasa MRCA 2018-2020 di sini, semalam.

Chua berkata, kerajaan perlu melihat barangan yang penting dan memikirkan pengguna daripada golongan pertengahan dan bawahan.

Ketika mengulas mengenai isu tenaga kerja, Chua turut menggesa kerajaan mempertimbangkan semula polisi pekerja asing terutamanya dalam sektor makanan dan pembuatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 1:41 AM