GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Manirajan Manasamy dan Hazwan Faisal Mohamad
bisnes@nstp.com.my


MASS Rapid Transit Corporation Bhd (MRT Corp) kini sedang mencari jalan untuk mengurangkan kos pembinaan MRT 2.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, ia susulan pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) untuk kali kedua hari ini.

“Kami berbincang mengenai kaedah untuk mengurangkan kos pembinaan MRT 2. Ini adalah inti pati utama pertemuan hari ini (semalam) dan kami yakin mampu melakukannya, sekali gus dapat menjimatkan lagi wang rakyat.

"Bagi MRT 3, ia telah dibatalkan buat masa ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan MPK di Kuala Lumpur, hari ini.

Awal bulan ini, Shahril selepas mengadakan pertemuan dengan MPK buat kali pertama berkata pihaknya tidak membantah keputusan kerajaan mahu membatalkan projek MRT 3, namun berpendapat ia tetap perlu diteruskan pada masa akan datang.

Katanya, pihaknya mematuhi arahan dikeluarkan kerajaan untuk menghentikan projek berkenaan, tetapi mengakui MRT Laluan 3 itu adalah kritikal bagi melengkapkan semua jajaran.

"Bagaimanapun kita berharap satu hari nanti selepas kedudukan fiskal kerajaan bertambah baik, kerajaan akan menimbangkan untuk meneruskan semula projek ini.

"Keputusan kerajaan untuk membatalkan projek ini pada masa ini bukanlah satu kesilapan, tetapi ia tetap perlu dilakukan pada masa depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Jun 2018 @ 4:45 PM