DUA dari kiri, Raymond, Fui Yen dan Ong bersama maskot siri animasi We Bare Bears pada majlis pelancaran kedai pop-up di TGV Sunway Velocity, Cheras.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Rangkaian pawagam sedang berkembang di Malaysia, TGV Cinemas menjalin kerjasama strategik bersama Cartoon Network dan Innocraft Sdn Bhd bagi mewujudkan kedai pop-up siri animasi We Bare Bears di TGV Sunway Velocity, Cheras.

Pengurus Kanan Jabatan Konsesi TGV, Raymond Letchmanan berkata, pembukaan kedai pop-up yang pertama seumpama itu adalah inisiatif dalam menjadikan jenama pawagam itu terus mendapat perhatian orang ramai di negara ini.

Beliau berkata, kedai berkenaan membawakan konsep santai dan pengunjung boleh membeli barangan cenderamata eksklusif daripada siri animasi We Bare Bears seperti baju, botol air, alat tulis dan beg pada harga berpatutan.

“Sebagai peneraju pawagam di Malaysia, kami sentiasa berusaha mencari penyelesaian kreatif untuk membawakan kelainan khusus kepada peminat filem tempatan dan luar negara.

“Kedai pop-up ini antara inisiatif yang kami laksanakan dan tidak terikat kepada sebarang ciri pawagam, namun lebih kepada tawaran hebat kepada peminat siri animasi ini,” katanya pada majlis pelancaran kedai itu di sini, baru-baru ini.

Kedai pop-up siri animasi We Bare Bears akan dibuka pada tempoh masa terhad iaitu selama sebulan bermula 9 Jun hingga 8 Julai depan.

Raymond berkata, TGV Cinemas menawarkan Kombo Cawan Topper Istimewa We Bare Bears yang didatangkan dalam dua pilihan harga iaitu RM29.90 dan RM19.90.

“Selain itu, kami juga akan adakan sesi Meet & Greet bersama tiga watak utama siri animasi itu di TGV Sunway Velocity pada 9 dan 16 Jun ini pada tiga sesi berbeza iaitu 12.45 petang, 4.45 petang dan 6 petang,” katanya.

Setakat ini, kedai pop-up itu hanya berada di Sunway Velocity dan pihaknya berhasrat untuk meluaskannya ke seluruh negara tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Jun 2018 @ 8:47 AM