RADZALI Hassan
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Francais Malaysia (MFA) menjangkakan industri francais negara akan terus mencatatkan pertumbuhan sehingga 10 peratus tahun ini.

Pengerusi MFA, Datuk Radzali Hassan berkata, pertumbuhan positif itu dijangka dapat dicapai berikutan peningkatan yang direkodkan pada Pameran Antarabangsa Francais Malaysia (FIM) 2018.

“Sebanyak RM410 juta transaksi jualan direkod sepanjang FIM 2018 yang berlangsung pada April lalu yang mana ia menunjukkan peningkatan daripada RM371 juta transaksi pada FIM 2017.

“Malah, sebelum ini kami mengunjurkan pertumbuhan tahunan industri antara lima hingga lapan peratus dan tahun ini kami melihat industri mampu berkembang antara 8.0 hingga 10 peratus,” katanya pada taklimat media sempena Anugerah Francais Malaysia (AFM) di sini, semalam.

Menurutnya, setiap tahun MFA turut menerima permohonan ahli baru daripada pelbagai sektor dan setakat ini terdapat 300 ahli MFA yang berdaftar di seluruh negara dengan 40 peratus daripadanya terbabit dalam sektor makanan dan minuman (F&B).

Sementara itu, MFA menyasarkan 52 pencalonan yang terdiri daripada 30 syarikat akan mengambil bahagian pada AFM kali ke-23 yang berlangsung 18 September 2018.

Radzali berkata, sebanyak 18 kategori dipertandingkan dan setiap peserta diadili oleh panel penilai berkecuali yang terdiri daripada kalangan profesional dan akademik.

Beliau berkata, AFM 2018 menjadi platform kepada kepada penggiat industri francais untuk berusaha lebih gigih bagi mencapai matlamat masing-masing dalam memajukan perniagaan.

Antara kategori anugerah yang dipertandingkan adalah Francais Terbaik, Sistem Francais, Francais Antarabangsa, Francaisi dan Terbuka.

Selain itu, pihak jawatankuasa turut memperkenalkan satu kategori baru untuk pengamal media yang terbahagi kepada dua anugerah iaitu Wartawan Terbaik dan Artikel Pencetus Industri Francais Terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 1:20 AM