PASUKAN Grab dan Maybank selepas majlis kerjasama strategik servis dompet mudah alih GrabPay.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Grab menjalin kerjasama strategik dengan Malayan Banking Bhd (Maybank) mempertingkat kaedah pembayaran tanpa tunai melalui servis dompet mudah alih terbaru, GrabPay.

Pengarah Urusan GrabPay Singapura, Malaysia dan Filipina, Ooi Huey Tyng berkata, usaha sama ini menyaksikan pengukuhan dalam pendekatan yang dilaksanakan Grab.

Beliau berkata, keseluruhan industri perlu bersama dalam menuju ke arah ekonomi tanpa tunai dan menjadikannya satu realiti di Malaysia.

“Kami berbangga untuk bekerjasama dengan Maybank yang bukan saja berkongsi visi pembayaran tanpa tunai masa depan yang sama, malah mengiktiraf idea Grab untuk mengubahnya menjadi realiti.

“Dengan GrabPay sebagai kaedah pembayaran utama di aplikasi Grab, ia turut membina ekosistem yang saling berkaitan sehingga menjadikan Grab sebagai aplikasi bagi kegunaan harian,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Inisiatif untuk memperkenalkan GrabPay dilakukan apabila syarikat e-panggilan itu mendapat lesen wang elektronik daripada Bank Negara Malaysia (BNM) pada Disember 2017.

Selain itu, dengan jalinan kerjasama antara Grab dan Maybank, pengguna Grab boleh menggunakan aplikasi itu pada pedagang utama Maybank dan juga GrabPay.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata, perkara berkenaan adalah sebahagian usaha berterusan menyediakan pelanggannya dengan kemudahan digital bagi meningkatkan pengalaman dan gaya hidup.

Dengan aplikasi Grab, pengguna bukan saja dapat mengakses servis pengangkutan malah lain-lain perkhidmatan yang memenuhi gaya hidup pengguna seperti tempahan makanan, bayaran pembelian barang dan pemindahan wang.

Selain itu, kerjasama dua pihak itu turut mempelbagaikan servis lain seperti pengguna boleh menambah nilai dompet mudah alih itu menerusi Maybank2U.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mei 2018 @ 1:07 AM