DATUK Mohd Nasir Ahmad. FOTO Arkib NSTP
Nasuha Badrul Huzaini
nasuha@nstp.com.my


MEDIA Prima Bhd melantik Pengarah Kanan Bebas Bukan Eksekutif Datuk Mohd Nasir Ahmad sebagai Pengerusi Interim Kumpulan media bersepadu itu.

Beliau menggantikan Tan Sri Ismee Ismail yang tamat perkhidmatan sebagai Pengerusi Kumpulan Bukan Eksekutif kumpulan berkuat kuasa hari ini.

Media Prima dalam satu kenyataan berkata, Mohd Nasir sebelum ini adalah Pengerusi Jawatankuasa Audit Kumpulan dan ahli Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan.

Beliau juga memegang jawatan sebagai Pengerusi Sistem Televisyen Malaysia Bhd dan Ahli Lembaga Pengarah Synchrosound Studio Sdn Bhd.

Mohd Nasir mula menjadi ahli Lembaga Pengarah Media Prima pada 26 Februari 2016.

Sementara itu, Media Prima berkata, Ismee sebelum ini sudah memaklumkan Lembaga Pengarah mengenai hasrat beliau untuk melepaskan jawatannya.

“Berikutan peletakan jawatan berkenaan, Lembaga Pengarah mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas kepimpinan dan sumbangan beliau kepada Media Prima, sejak menyertai kumpulan pada 1 Jun 2017,” kata kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 11:35 PM