Projek terbaru SP Setia di Johor iaitu Setia Eco Gardens​ menawarkan kediaman dikenali sebagai Vallaris.
Sofyan Rizal Ishak
bisnes@nstp.com.my


Shah Alam: SP Setia Berhad (SP Setia) pemaju hartanah terkemuka tempatan merancang melancarkan projek pembangunan tempatan dan antarabangsa dengan nilai pembangunan kasar RM5.5 bilion menjelang separuh kedua tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Khor Chap Jen berkata, syarikat melancarkan projek pertama di Pulau Pinang iaitu Setia Fontaines di utara Seberang Prai pada suku kedua tahun ini.

“Selain Setia Fontaines, kami juga melancarkan projek di kawasan perbandaran sedia ada seperti di Setia Alam, Setia Ecohill 2, Setia Eco Park, Setia Eco Glades, Setia Alamsari dan Alam Impian serta Taman Pelangi Indah, Setia Eco Gardens dan Setia Tropika di wilayah selatan,” katanya selepas mesyuarat agung tahunan SP Setia di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, syarikat juga melancarkan unit kediaman bertingkat di Singapura yang membabitkan pembinaan 327 unit dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.42 bilion menjelang suku ketiga tahun kewangan 2018.

“Untuk pelancaran projek di Australia, ia kesinambungan daripada projek UNO Melbourne iaitu pembangunan bercampur pegangan bebas yang merangkumi menara hotel merangkap kediaman yang kelima di negara terbabit,” katanya.

Mengulas mengenai simpanan tanah Kumpulan, Khor berkata, syarikat kini memiliki seluas 3,879 hektar sehingga 31 Mac lalu dengan jangkaan GDV RM139 bilion yang dibangunkan dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

Menurutnya, prospek Kumpulan itu dijangka kekal positif dengan jualan belum dibilkan sebanyak RM7.95 bilion melalui 46 projek yang dibangunkan.

“Kami optimis mampu mencapai sasaran jualan RM5 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 berdasarkan pengekalan momentum dan jualan kukuh dicapai pada masa ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mei 2018 @ 6:05 AM