NAIB Presiden (Pemasaran) Petronas Datuk Seri Syed Zainal Abidin (dua dari kiri) bersalam dengan Goh (dua dari kiri) pada majlis pelancaran GRAB Driver Pit Stop, di stesen Petronas Mutiara Damansara, semalam.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@nstp.com.my

Petaling Jaya: Petronas Dagangan Berhad (PDB) menyasarkan untuk mewujudkan 100 Grab Driver Pit Stop di stesen Petronas seluruh negara melalui kerjasama strategik dengan penyedia perkhidmatan e-hailing Grab, hujung tahun ini.

Grab Driver Pit Stop adalah ruang yang membolehkan rakan pemandu Grab berehat dan menyegarkan diri sebelum meneruskan perjalanan, sekali gus memberi lebih ganjaran dan mengurangkan kos pemanduan masing-masing.

Ketua Perniagaan Runcitnya, Aadrin Azly berkata, hentian itu akan dibuka pada 2 Mei ini iaitu lounge eksklusif pertama yang bukan saja menawarkan tempat rehat kepada rakan pemandu Grab malah mereka boleh menikmati air mineral atau kopi panas percuma bagi setiap RM50 pembelian minyak dan tawaran istimewa lain.

“Inisiatif ini sebahagian usaha kami meningkatan tawaran nilai kepada Grab termasuk insentif khusus, diskaun dan program kesetiaan,” katanya pada pelancaran Grab Driver Pit Stop di sini, semalam.

Untuk fasa pertama projek ini, 58 Grab Driver Pit Stop akan beroperasi di negeri terpilih seluruh negara di mana lima daripada cawangan itu dilengkapi sepenuhnya dengan perabot serta kawasan duduk eksklusif bagi menyediakan keselesaan tambahan kepada rakan pemandu Grab.

Lima cawangan itu terletak di stesen Petronas Mutiara Damansara, Jalan Jelatek 2, KLIA 2, Hubungan Timur Barat dan Lebuhraya Sprint.

Ketua Negara Grab Malaysia, Sean Goh berkata, syarikat sedar dengan peranannya dalam meningkatkan kebajikan dan menjadikan kerjaya rakan pemandu lebih baik, kukuh dan menawarkan ganjaran sepanjang tahun.

“Sebagai rakan kerjasama PDB, rakan pemandu Grab berpeluang menikmati rebat penuh sehingga RM22 sebulan melalui Program Jimat Minyak yang bukan saja terhad kepada pemandu yang mencatatkan prestasi baik malah dibuka kepada pemandu Perak, Emas dan Platinum dalam Program GrabAllStars,” kata beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 8:47 AM