Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Finology Sdn Bhd (Finology) yang dikenali menerusi laman web kewangan peribadi loanstreet.com.my menawarkan dua produk baru bagi melancarkan urusan sebelum dan semasa pembelian rumah kediaman.

Produk itu adalah Loan Scoring, iaitu penyelesaian kepada Laporan Penilaian Kredit untuk pemaju hartanah tempatan bagi menilai potensi pembeli rumah.

Selain Loan Scoring, produk lain ialah DSuite yang direka untuk menawarkan penyelesaian digital menyeluruh kepada pemaju hartanah untuk kemudahan pemantauan keseluruhan proses dari peringkat penilaian sehingga selesai proses permohonan pembiayaan rumah.

Pengasas dan Pengarah Urusan Finology, Jared Lim berkata, dua produk itu bukan saja mampu untuk memberi manfaat kepada pemaju hartanah, malah ia turut memudahkan urusan pembeli rumah.

Beliau berkata, produk itu juga adalah yang pertama seumpamanya diperkenalkan di negara ini dan optimis ia berupaya untuk merancakkan kembali transaksi pembelian dalam sektor hartanah tempatan.

“Kami mampu menjana Laporan Penilaian Pinjaman yang komprehensif kepada pembeli rumah dalam tempoh 30 minit saja.

“Berdasarkan laporan itu, pembeli boleh mengetahui kelayakan pinjaman dan jumlah pembiayaan maksimum dari 15 bank berbeza.

“Aspek yang dipertimbangkan dalam laporan ini, termasuk penilaian CCRIS dan CTOS bakal pembeli, Purata Perkhidmatan Hutang individu atau pembelian bersama serta kriteria spesifik dari 15 bank,” katanya, di sini.

Loanplus menyediakan laporan penilaian kredit yang dijana kurang dari 30 minit dengan akses kepada 15 bank berserta saranan pembiayaan.

Menerusi saranan dalam laporan itu, pembeli mempunyai pilihan memilih bank yang boleh menawarkan pembiayaan bersesuaian dengan kehendak pembeli.

Lim berkata, mengenai DSuite, pihak pemaju dapat memantau proses permohonan pembiayaan yang dilakukan oleh pembeli di pelbagai peringkat proses pembiayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 April 2018 @ 12:47 AM