Winter memperkenalkan model Golf R-LIne di pameran Malaysia Autoshow 2018, semalam.
Mohd Zaky Zainuddin dan Hazwan Faisal Mohamad dan Azzman Abdul Jamal
bhbiz@nstp.com.my

Serdang: Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) memperkenalkan Golf R-Line baru, sekali gus melengkapkan rangkaian keluarga model berkenaan di Malaysia.

Pengarah Urusan VPCM Erik Winter berkata, Golf R-Line yang ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans RM167,737 itu menjadi varian pertama seumpamanya diperkenalkan di negara ini.

“Sejak melancarkan model keluarga Golf, kami menerima maklum balas positif terhadap pelbagai varian model ini. Dengan pelancaran Golf R-Line, ia menyaksikan varian keluarga Golf sudah sempurna,” katanya pada majlis pelancaran varian itu sempena Malaysia Autoshow 2018 di sini, semalam.

Golf R-Line yang sesuai untuk pemanduan bandar, memiliki reka bentuk cukup dikenali dan pakej talaan R-Line merangkumi bampar depan dan belakang, spoiler, lencana pada gril radiator dan panel sisi serta rim aloi Singapore 17 inci.

Menggunakan enjin 1.4TSI pengecas turbo yang dipadankan dengan kotak gear DSG 7-kelajuan, ia mampu menghambur kuasa 150 PS dan tork 250Nm pada 1,500 hingga 3,500 rpm.

Dari segi keselamatan, Golf R-Line dilengkapi tujuh beg udara serta rangkaian teknologi termaju seperti Maneuver Braking yang membrek kereta secara automatik apabila ia mengesan objek pada kelajuan 10 kilometer sejam (km/j).

Varian berkenaan didatangkan dengan Sistem Brek Automatik Pasca Pelanggaran yang berfungsi menekan brek secara automatik untuk menghalang impak besar apabila kenderaan terbabit kemalangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 1:01 AM