VIVY
BERNAMA

Kuala Lumpur: FashionValet (FV), satu daripada platform e-dagang fesyen Asia Tenggara yang terkemuka akan disenaraikan di Bursa Malaysia.

Ketua Pegawai Kreatif, Vivy Yusof berkata, rancangan untuk penyenaraian itu mengambil tempoh beberapa tahun sebelum direalisasikan.

“Sekarang ini, keutamaan kami adalah untuk mengekalkan serta meningkatkan keuntungan,” katanya.

Berikutan penutupan pelaburan Siri C dana kedaulatan Khazanah Nasional Bhd, Vivy berkata, FV sedang merancang untuk mengembangkan lagi pasaran fizikal dan penembusan digital yang lebih luas.

FV baru-baru ini telah mengumpulkan satu jumlah yang tidak ditentukan daripada dana itu, yang akan dipakai untuk menaik taraf infrastruktur dan teknologi, membuka lebih banyak cawangan fizikal serta mengembangkan kehadiran syarikat berkenaan di Malaysia dan Asia Tenggara.

Ditubuhkan pada 2010, portal fesyen dalam talian itu sekarang menaungi 500 pereka Asia Tenggara dan memiliki pelanggan di seluruh dunia.

Ia mempunyai kedai fizikal di Malaysia (Pavilion dan Bangsar Village II), Singapura dan Brunei.

Secara digital, ia berkhidmat untuk pelanggan di lebih 15 negara, termasuk rantau Timur Tengah, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia.

Jenama Vivy sendiri, dUCk akan diserap masuk di bawah FV untuk penyenaraian akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 April 2018 @ 1:04 AM