AUREEN
Nurhayati Abllah
nurhayatiabllah@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyasarkan jualan bernilai RM450 juta bagi penganjuran Ekspo China ASEAN (CAEXPO) ke-15 tahun ini, yang diadakan pada 12 hingga 15 September depan.

Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Strategik MATRADE, Datuk Aureen Jean Nonis berkata, jualan dijana daripada CAEXPO tahun lalu berjumlah RM405.50 juta, melangkaui sasaran ditetapkan RM350 juta.

“Kami optimis penganjuran CAEXPO tahun ini mampu meraih jualan lebih baik berikutan permintaan memberangsangkan dari China.

“Ada beberapa sektor baru mempunyai potensi permintaan yang tinggi iaitu pelancongan kesihatan dan makanan dan minuman (F&B),” katanya selepas sidang promosi jerayawara CAEXPO 2018 di sini, semalam.

Promosi jerayawara diadakan di tiga negeri terpilih iaitu Kuala Lumpur, Johor dan Sarawak bermula 23 hingga 25 April ini.

Beliau berkata, penganjuran kali ini mengekalkan peruntukan 179 ruang pameran di Pavilion Malaysia dan setakat ini, MATRADE menerima lebih 150 permohonan dalam kalangan syarikat tempatan untuk menyertai ekspo berkenaan.

“Kami mengalu-alukan syarikat tempatan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyertai CAEXPO.

“Apa yang penting, kita ingin memilih syarikat yang memiliki jenama dan produk berkualiti serta berkeupayaan memenuhi permintaan pasaran di China,” katanya.

Katanya, MATRADE sentiasa melihat CAEXPO sebagai platform mempromosikan eksport Malaysia dan berdasarkan rekod lalu, ekspo itu terbukti menjadi saluran efektif bagi syarikat Malaysia mengembangkan capaian mereka di China.

MATRADE mengetuai delegasi syarikat Malaysia yang mengisi 179 ruang pameran di CAEXPO 2017 di Nanning International Convention and Exhibition Centre, Wilayah Guangxi, China.

Syarikat Malaysia yang terdiri daripada PKS akan mempamerkan produk dan perkhidmatan buatan Malaysia dalam pelbagai sektor daripada F&B hingga kepada kesihatan dan kecergasan, gaya hidup serta perkhidmatan.

Jumlah perdagangan Malaysia dengan China berkembang 20.6 peratus kepada RM290.65 bilion pada 2017 daripada RM240.9 bilion pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 April 2018 @ 1:02 AM