NAJMUDDIN Abdullah
Nora Mahpar
noramahpar@bh.com.my

Kuala Lumpur: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) yakin projek Transit Aliran Massa (MRT) jajaran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) atau MRT2 mampu beroperasi pada masa ditetapkan.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Berkepentingan MRT Corp, Datuk Najmuddin Abdullah berkata, projek itu kini sudah mencapai 24 peratus siap dan fasa pertama dijangka siap pada suku ketiga 2021 serta siap sepenuhnya pada suku ketiga 2022.

“Ini adalah tahap kemajuan yang menyenangkan kerana kita sekarang berada di hadapan.

“Ini amat penting bagi projek besar sebegini kerana kita tidak tahu apa yang mungkin berlaku di sepanjang tempoh menyiapkan projek ini.

“Setakat ini, kita gembira dengan kemajuan yang dicapai dan yakin dapat siapkan jajaran MRT2 ini tepat pada masanya seperti mana kita siapkan jajaran Sungai Buloh-Kajang (SBK),” katanya ketika ditemui pada demonstrasi keupayaan pemadaman kebakaran dan menyelamat MRT bagi kerja bawah tanah di sini, semalam.

Demonstrasi itu bertujuan memaparkan aktiviti signifikan Pasukan Pemadam Kebakaran dan Penyelamat MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd (MGKT) yang menjalankan operasi menyelamat selain memberi bantuan kecemasan di lapangan.

Pasukan berkenaan adalah yang pertama ditubuhkan kontraktor di Malaysia di mana tiga pasukan respons kecemasan digabungkan.

Ia membabitkan pasukan pemadam kebakaran dan penyelamat sepenuh masa, pasukan respons kecemasan dan pasukan respons kecemasan trafik.

Pasukan itu merangkumi 40 kakitangan yang bertugas 24 jam sehari merangkumi minimum lima anggota setiap syif membabitkan 120 anggota secara keseluruhan di lebih 24 lokasi pada satu-satu masa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 April 2018 @ 12:58 AM