MODEL SAV terbaru, BMW X3 yang dilancarkan, semalam.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my

Kuala Lumpur: BMW Group Malaysia melakarkan pertumbuhan memberangsangkan apabila lebih 3,000 unit kenderaan BMW, MINI dan Motorrad terjual pada suku pertama tahun ini, meningkat 15 peratus berbanding 2,600 unit bagi tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl berkata, secara terperinci BMW menyaksikan perkembangan jualan 18 peratus melebihi 2,500 unit kenderaan baru pada suku pertama tahun ini.

“MINI berkembang enam peratus dengan penjualan 220 unit kenderaan berbanding tahun lalu dalam tempoh sama sementara BMW Motorrad pula mencatatkan perkembangan dua peratus pada suku pertama tahun ini dengan jualan motosikal menghampiri 260 unit,” katanya selepas melancarkan model kenderaan aktiviti sukan (SAV) X3, semalam.

Menurut Hoelzl, generasi ketiga X3 adalah model terbaru pemasangan tempatan (CKD) selepas menjadikan negara ini hab BMW Group di Asia Tenggara.

“Pelancaran ini membuktikan komitmen BMW Group Malaysia untuk mengembangkan pelaburan di negara ini.

“Model CKD ini membolehkan pelanggan menerima lebih banyak pilihan produk serta kombinasi daripada model diimport sepenuhnya (CBU) dalam segmen kenderaan SAV,” katanya.

BMW X3 menampilkan reka bentuk menonjol dan dinamik serta dilengkapi sistem pemanduan terbaik.

Hanya varian xDrive30i Luxury ditawarkan untuk pasaran tempatan dengan sistem pacuan semua roda pintar BMW xDrive.

Berharga RM320,000 tanpa insurans, empat warna ditawarkan iaitu coklat (Terra Brown), hitam (Black Sapphire), perak (Glacier Silver) dan putih (Alpine White).

Model terbaru ini boleh ditempah melalui pengedar BMW di seluruh negara dan penghantaran pertama dijadualkan bermula Julai depan.

Pembeli BMW X3 juga boleh menikmati Pengalaman Pemilikan Premium merangkumi jaminan perbatuan tanpa had selama lima tahun dan Program Servis Berjadual Percuma, Program Waranti Tayar selama dua tahun, Bantuan Tepi Jalan dan Hotline Kemalangan, BMW White Card serta Servis Atas Talian oleh BMW.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 April 2018 @ 12:13 AM