Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) bagi tahun ini mencatatkan jualan keseluruhan RM1.52 bilion berbanding RM1.01 bilion pada penganjuran tahun lalu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, MIHAS bukan hanya acara tahunan semata-mata, namun ia platform bagi sektor halal yang kini meraih momentum pertumbuhan memberangsangkan sejak sedekad lalu.

Beliau berkata, penganjuran MIHAS bukan saja penting dalam memacu kemajuannya di Malaysia, malah turut membawa industri halal dunia ke peringkat tinggi.

“Landskap ekonomi Islam yang kondusif di negara ini menjadikan MIHAS sebagai pusat tumpuan bagi peniaga tempatan dan luar negara yang dilihat menyumbang secara signifikan kepada ekonomi halal global,” katanya di sini, semalam.

MIHAS yang berlangsung pada 4 hingga 7 April lalu dianjurkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) meraih jualan daripada dua komponen utama iaitu program penyumberan antarabangsa (INSP) dan pameran.

Antara sektor berprestasi tinggi pada pameran halal itu ialah makanan (RM407.2 juta), minuman (RM129.3 juta), farmaseutikal dan kosmetik (RM108.4 juta), pertanian (RM68.53 juta) serta perkakasan dan jentera (RM41.58 juta).

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Dr Mohd Shahreen Zainooreen Madros berkata, komponen pameran merekodkan peningkatan jualan 29 peratus kepada RM914.57 juta berbanding RM708.82 juta pada tahun lalu, manakala INSP menjana transaksi sehingga RM602.45 juta, meningkat 99.5 peratus dari RM301.99 juta tahun lalu.

Mohd Shahreen berkata, pameran halal itu juga berjaya menarik 778 pempamer dari 32 negara yang mana penganjuran itu menyaksikan penyertaan pertama kali dari Kemboja, Azerbaijan dan Uzbekistan.

“Malah, sepanjang empat hari ia berlangsung, MIHAS menerima kunjungan lebih 21,000 pelawat meliputi syarikat antarabangsa, persatuan, delegasi luar negara dan pelawat domestik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 12:48 AM