BAKHTIAR (lapan kiri) dan Abdul Basith (tujuh kiri) bergambar bersama penerima anugerah. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Faliq Lajim
cnews@nstp.com.my


LEMBAGA Zakat Selangor (LZS) mencatatkan jumlah kutipan zakat kira-kira RM750 juta bagi tahun lalu.

Ketua Pegawai Penyelaras LZS, Abdul Basith Hamid berkata, kutipan diperoleh hasil kerjasama erat serta komitmen ejen kutipan serta penolong amil LZS.

Beliau berkata, kerjasama itu satu ibadah yang dijamin berikutan ia sudah membela nasib lebih 40,000 keluarga asnaf, fakir dan miskin di Selangor.

“Jumlah ini diperoleh melalui kutipan Zakat Pendapatan, Zakat Perniagaan, Zakat Wang Simpanan, Zakat Harta, Zakat Fitrah, Zakat Saham, Zakat KWSP, Zakat Tanaman, Zakat Emas, Zakat Ternakan dan Zakat Perak.

“Antara bantuan yang sudah disalurkan adalah RM75.1 juta bagi Bantuan Kewangan dan Bulanan Asnaf, RM57.6 juta untuk Bantuan Keperluan Pendidikan dan Yuran Persekolahan (Tadika, Rendah dan Menengah) serta RM52.7 juta dalam Bantuan Umum Pelajaran, Dermasiswa dan Biasiswa.

“Selain itu, LZS juga sudah menyalurkan sebanyak RM42.2 juta bagi Bantuan Bina, Baik Pulih dan Sewa Rumah, RM29.4 juta untuk bantuan dialisis serta lain-lain bantuan,” katanya

Beliau berkata demikian pada Majlis Penghargaan Lembaga Zakat Selangor 2017 yang meraikan ejen kutipan dan penolong amil di Shah Alam, malam tadi.

Turut hadir, Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Bakhtiar Hussin dan Ketua Devisyen Kutipan LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

Abdul Basith berkata, laporan prestasi kutipan agihan zakat di Selangor boleh diperoleh dalam bentuk penerbitan bercetak atau dimuat turun di laman Web www.zakatselangor.com.my. Tambah beliau,

LZS mensasarkan kutipan zakat RM800 juta pada tahun ini.

Sementara itu, Abdul Basith berkata, majlis penghargaan itu adalah kegiatan rutin tahunan yang dianjurkan untuk memberi penghargaan kepada mereka yang membantu melaksanakan agenda ummah dalam urusan kutipan dan zakat bagi pihak LZS.

“Pada malam ini LZS meraikan ejen kutipan dan penolong amil yang sudah memberikan komitmen menyebarkan dakwah zakat selain membantu meningkatkan lagi kutipan zakat.

“Mereka yang diraikan pada hari ini adalah wakil firma audit percukaian, ejen syarikat, bank, pejabat pos, penolong amil institusi pengajian tinggi serta syarikat-syarikat korporat yang juga pengeluar zakat dan majikan yang membuat bayaran zakat melalui potongan gaji,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 7:55 PM