LAMAN web Roopawan.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@nstp.com.my

Kuala Lumpur: BEONCo, platform e-dagang dan pengurusan kandungan atas talian Indonesia menerusi anak syarikatnya, Beon Commerce (Beon Commerce) Sdn Bhd mengambil alih 100 peratus kepentingan dalam Roopawan, portal produk fesyen dan kecantikan Muslim Malaysia.

Pengambilalihan itu dijangka menjadi cabang pembangunan strategik yang penting bagi operasi sedia ada BEONCo di Indonesia, di samping memajukan operasi perniagaan di negara ini.

Pengarah Beon Commerce, Michael Lee berkata, pembelian pemilikan Roopawan daripada Roopawan Marketing Sdn Bhd dilihat membantu portal itu beralih daripada tumpuan jualan terus pengguna kepada penyelesaian keuntungan lebih tinggi dengan pengenalan program usahawan atas talian atau ‘onlinepreneur’.

“Kami melihat Roopawan adalah jenama Malaysia yang berdaya saing.

“Pengambilalihan ini dapat memacu pengembangan operasi kami di Malaysia dan kami juga berhasrat membawa Roopawan ke negara Asia lain menerusi suntikan dana sehingga RM1 juta,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Roopawan dilancarkan secara rasmi pada Mei tahun lalu dan sehingga kini menampilkan lebih 60 jenama tempatan serta antarabangsa menerusi platform www.roopawan.com.

Sementara itu, Pengasas Roopawan, Mohd Fuad Mohd Noor berkata, BEONCo berpengalaman lebih lapan tahun dalam arena e-dagang di pasaran Indonesia dan mampu memacu Roopawan untuk berkembang dengan lebih jauh.

“Pengambilalihan ini sejajar dengan strategi Roopawan untuk terus kekal dominan dalam pasaran Muslim di Asia Tenggara,” katanya.

Beon Commerce turut menubuhkan Akademi BEON di Malaysia yang berperanan menyalurkan latihan dan bimbingan kepada usahawan atas talian di negara ini menerusi strategi pemasaran berkesan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 9:04 AM