KAMALUDIN (kanan) bersama Awal pada majlis pelancaran kempen #DEMI, semalam.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Industri insurans tempatan dilihat mampu merekodkan prestasi positif keseluruhannya tahun ini melalui segmen insurans hayat dan keluarga yang dijangka mencatatkan pertumbuhan dua angka.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Insurans dan Takaful Etiqa (Etiqa) Kamaludin Ahmad berkata, pihaknya melihat segmen insurans hayat dan keluarga mencatatkan prestasi memberangsangkan berikutan hanya 55 peratus rakyat Malaysia memiliki perlindungan insurans hayat kini.

“Kami optimis industri insurans akan lebih baik tahun ini dan ia membantu kami mencatatkan prestasi cemerlang berbanding tahun lalu,” katanya pada pelancaran kempen #DEMI di sini, semalam.

Etiqa iaitu sayap insurans dan takaful bagi Malayan Banking Berhad (Maybank) mencatatkan keuntungan sebelum cukai melebihi RM1 bilion buat kali pertama dengan peningkatan 18.5 peratus kepada RM1.01 bilion bagi tahun kewangan berakhir Disember 2017 berbanding RM855 juta tahun sebelumnya.

Beliau berkata, syarikat menyasarkan mencatatkan keuntungan sebelum cukai melebihi jumlah terbabit tahun ini dibantu melalui penganjuran pelbagai kempen dan promosi serta kesedaran yang bakal diadakan.

“Tahun lalu kami berjaya ke Indonesia serta mencatatkan prestasi baik di Filipina dan Singapura dengan keuntungan sebelum cukai melebihi RM1 bilion.

“Untuk tahun ini, walaupun masih terlalu awal menetapkan sasaran sebenar namun kami yakin mampu mencatatkan keputusan lebih baik berdasarkan prospek industri yang positif,” katanya.

Sementara itu, Etiqa menjalin kerjasama dengan pelakon dan pengacara televisyen, Awal Ashaari yang dilantik sebagai duta kempen #DEMI selama setahun.

Kempen itu menyaksikan Awal menyertai siri jelajah di cawangan Maybank terpilih seluruh negara bagi memberi kesedaran mengenai kepentingan insurans dan takaful kepada rakyat Malaysia terutama bagi mereka yang tidak memiliki pelan perlindungan insurans dan takaful.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 1:03 AM