GRAB perkenal GrabFood di Malaysia sebagai pengganti Uber Eats.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Grab mengumumkan pengambilalihan operasi Uber Asia Tenggara secara rasmi daripada Uber Technologies Inc di mana ia adalah perjanjian terbesar seumpamanya di Asia Tenggara.

Perjanjian itu akan menyaksikan Grab melaksanakan integrasi dengan perniagaan perkongsian perjalanan dan penghantaran makanan Uber di rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengasas Bersama Grab, Anthony Tan berkata, pengambilalihan itu menandakan permulaan era baru bagi kedua-dua entiti.

“Melalui penggabungan itu, Grab akan menjadi platform mudah alih online to offline (O2O) pertama di Asia Tenggara dan pemain utama dalam segmen penghantaran makanan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, Grab akan mengembangkan perniagaan GrabFood sedia adanya di Indonesia dan Thailand kepada dua lagi negara iaitu Singapura dan Malaysia.

Ia berikutan integrasi perniagaan Uber Eats dengan GrabFood yang dijangka berada di semua negara utama Asean menjelang separuh pertama 2018.

Untuk segmen pengangkutan, Grab akan mengembangkan tawaran pengangkutannya dengan membabitkan lebih banyak lagi perkhidmatan pengangkutan tempatan dan penyelesaian mobiliti baru dengan kerjasama pembekal pengangkutan dan pembuat kereta lain.

“Kami juga akan berkerjasama dengan kerajaan dan operator pengangkutan awam bagi menghubungkan perkhidmatan pengangkutan awam bersepadu,” katanya.

Dalam masa sama, Grab akan meningkatkan dan meluaskan tawaran di bawah Grab Financial termasuk pembayaran mudah alih, pembiayaan mikro, insurans dan perkhidmatan kewangan lain bagi pelanggan yang kurang diberi perhatian, usahawan mikro dan perniagaan kecil di rantau Asia Tenggara.

“GrabPay sebagai dompet mudah alih akan boleh didapati di semua negara utama di rantau Asia Tenggara menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Aplikasi Uber akan beroperasi selama dua minggu untuk memastikan kestabilan pemandu Uber yang sedang beralih, Uber Eats akan beroperasi sehingga akhir Mei di mana selepas itu rakan restoran dan penghantarannya akan berpindah ke GrabFood.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Mac 2018 @ 9:11 AM