Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Sepuluh pelan perlindungan mampu milik di bawah inisiatif Perlindungan Tenang (PT) dilihat akan memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia melindungi diri mereka dan keluarga terhadap risiko dalam kehidupan dengan premium atau caruman serendah RM33 setahun.

Inisiatif yang diperkenalkan dengan tiga kriteria utama iaitu mampu milik, mudah diakses dan mudah difahami itu akan meningkatkan rangkuman kewangan bagi segmen kurang diberi perhatian terutama pendapatan isi rumah di bawah 40 peratus (B40).

Presiden Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) Toi See Jong berkata, produk di bawah PT itu dibangunkan pengendali insurans dan takaful di Malaysia bagi meningkatkan kemampuan dan akses terhadap produk perlindungan.

“PT juga disasarkan kepada lebih daripada lapan juta rakyat Malaysia yang bekerja dan 700,000 perusahaan kecil yang akan membantu kerajaan dalam mengurangkan jurang perlindungan dan memastikan 75 peratus populasi mendapatkan perlindungan insurans dan takaful menjelang 2020,” katanya, di sini.

Perlindungan Tenang adalah inisiatif kebangsaan yang dibangunkan LIAM, Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dengan sokongan Bank Negara Malaysia (BNM).

Setakat ini terdapat, 10 pelan perlindungan mampu milik ditawarkan di bawah PT membabitkan enam produk insurans hayat, tiga produk takaful dan satu produk insurans am.

See Jong berkata, Perlindungan Tenang mendapat sambutan yang baik dalam kalangan rakyat sejak dilancarkan Gabenor BNM, Tan Sri Muhammad Ibrahim pada Karnival Kewangan di Kuching, November lalu.

“Untuk industri insurans hayat, LIAM menjalin kerjasama rapat dengan BNM dan enam lagi syarikat terbabit untuk mewujudkan pelan itu dan kami menjangkakan lebih banyak syarikat akan melancarkan produk di bawah inisiatif PT dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 12:20 AM