ERIK melancarkan siri model terbaru Volkswagen Golf Sportline, Golf R-Line, Golf GTI dan Golf R di Kuala Lumpur.
Azzman Abdul Jamal
azzman@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Pengeluar kereta Jerman, Volkswagen (VW) akan memindahkan gudang peralatannya di Singapura ke Johor Bahru untuk dijadikan sebagai lokasi baharu hab alat ganti rantau Asia Pasifik VW, menjelang suku keempat 2018.

Pengarah Urusan Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) Erik Winter berkata, langkah itu dilaksanakan selepas mengambil kira isu logistik dan ruangan terhad di Singapura dan diyakini dapat diselesaikan sebaik dipindah ke Tanjung Pelepas, Johor Bahru.

Katanya, pemindahan gudang peralatan itu juga akan menambah baik kebolehcapaian alat ganti VW di Malaysia dengan mengurangkan tempoh penghantaran kepada pengedar VW di negara ini.

“Sebelum ini, tempoh menunggu alat ganti VW memakan masa kira-kira dua hari. Sebaik operasi dipindahkan ke Johor Bahru, tempoh penghantaran boleh diselesaikan pada hari sama.

“Ini sekali gus akan memberi manfaat kepada pelanggan VW Malaysia khususnya dari segi pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Pelancaran VW Golf di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada majlis pelancaran itu, VPCM turut memperkenalkan barisan model baru VW Golf untuk pasaran tempatan yang ditawarkan menerusi empat varian.

Empat varian yang diperkenalkan ialah VW Golf Sportline, Golf R-Line, Golf GTI dan Golf R.

Mengulas lanjut, Erik berkata, pihaknya yakin pengeluaran barisan model baharu itu akan menyumbang kepada pertumbuhan jualan kenderaan VW tahun ini.

“Tahun ini kami menyasarkan untuk capai angka kukuh dari segi jualan berdasarkan pencapaian 6,536 unit pada tahun lalu. Kami yakin model Golf baharu ini akan menyumbang kepada sasaran itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Mac 2018 @ 12:16 AM