ABDUL Rahman Dahlan
Mahanum Abdul Aziz dan Mohd Zaky Zainuddin
bhbiz@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) akan menerima pelaburan berjumlah AS$7 bilion (RM27.4 bilion) daripada Saudi Arabian Oil Company (Saudi Aramco), akhir bulan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, kemasukan pelaburan itu susulan muktamadnya rundingan antara syarikat petroleum Arab Saudi dan Petronas.

“Ini berita yang sangat istimewa dan menarik yang mana rundingan sudah menjadi kenyataan dan RAPID akan menerima pelaburan Saudi Aramco akhir bulan ini,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Teknologi Luar Pesisir Asia (OTC) di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin serta Pengerusi Lembaga OTC yang juga Pengerusi TOTAL Kuwait, Wafik Beydoun. Pada Mac tahun lalu, Petronas dan Saudi Aramco memeterai Perjanjian Pembelian Saham (SPA) bagi membolehkan syarikat minyak Arab Saudi itu membeli sebahagian ekuiti dalam aset RAPID.

Menerusi perjanjian bernilai AS$7 bilion itu, kedua-dua syarikat akan memiliki pegangan ekuiti sama rata ke atas beberapa projek dan aset penapisan minyak, loji perekah dan kemudahan petrokimia RAPID dalam Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC).

Projek RAPID adalah sebahagian daripada Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) yang membabitkan pelaburan keseluruhan mencecah AS$27 bilion yang dibangun dan dikendalikan Petronas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 1:22 AM