Christophe (empat dari kanan) melancarkan jaminan pembelian susu formula secara dalam talian yang pertama di Lazada Malaysia.
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@nstp.com.my

Petaling Jaya:Lazada Malaysia, platform e-dagang terkemuka di Malaysia memperkenalkan Program Jaminan Susu Formula bagi mengukuhkan komitmen untuk menjamin keyakinan dan kesegaran produk bagi semua unit simpanan stok (SKU) susu formula di platform terbabit.

Untuk melaksanakan program itu, Lazada Malaysia menjalinkan kerjasama dengan pengeluar susu formula bereputasi termasuk Abbot, Fonterra Brands, Friesland-Campina, Nestle dan Wyeth.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Christophe Lejeune berkata, langkah terbabit dilihat mampu mengatasi pelbagai halangan utama dalam pembelian susu formula secara dalam talian.

“Secara umumnya, pelanggan bimbang akan sumber, masa penghantaran dan hayat simpanan produk susu formula ini dan kami ingin memberi keyakinan kepada pelanggan setiap pek susu tepung yang dibeli di platform Lazada mematuhi piawaian tertentu melalui program ini,” katanya pada pelancaran Program Jaminan Susu Formula di sini, semalam.

Program itu menggariskan dua aspek utama iaitu kebolehpercayaan produk di mana semua SKU susu formula diperoleh terus daripada jenama dan pengeluar masing-masing.

Ia turut fokus kepada kesegaran produk di mana semua SKU susu formula mempunyai sekurang-kurangnya tempoh enam bulan sebelum tarikh luput.

Beliau berkata, program itu turut disokong oleh pengurusan rantauan bekalan Lazada Malaysia yang ketat termasuk aspek kebersihan dan cara penyimpanan Luput Dulu-Keluar Dulu (First-Expiry-First-Out) serta kerjasama dengan rakan logistik pihak ketiga yang boleh dipercayai.

“Kami akan memberi pampasan kepada pelanggan dengan gabungan bayaran balik 200 peratus iaitu 100 peratus pulangan tunai dan 100 peratus pampasan baucar jika polisi jaminan tidak dipatuhi, sekali gus menjadikan kami sebagai platform e-dagang pertama yang memberikan pampasan seumpama ini di Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Mac 2018 @ 8:49 AM