Mahanum Abdul Aziz
mahanum_aziz@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Petronas mencatatkan keuntungan bersih RM45.5 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, melonjak 91 peratus berbanding RM23.8 bilion pada 2016.

Ia disokong pendapatan yang meningkat 15 peratus kepada RM223.6 bilion.

Pada suku keempat berakhir 31 Disember 2017, untung bersih Petronas meningkat 61 peratus kepada RM18.2 bilion dan pendapatannya meningkat 14 peratus kepada RM61.8 bilion.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, berdasarkan prestasi dicatatkan, Petronas mengumumkan pembayaran dividen RM16 bilion kepada kerajaan.


WAN Zulkiflee

“Untuk tahun ini, kami komited menyumbang RM19 bilion dividen kepada kerajaan,” katanya ketika mengumumkan prestasi kewangan Petronas bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 di sini, semalam.

Menurutnya, pemulihan harga minyak mentah global memainkan peranan penting dalam pengukuhan prestasi firma minyak dan gas negara itu pada tahun lalu.

Beliau berkata, langkah mengoptimumkan kos dan peningkatan kecekapan juga menyumbang kepada prestasi kewangan yang kukuh.

“Kami terus mengurangkan kos pada 2017, dengan perbelanjaan operasi boleh dikawal RM3 bilion kurang berbanding 2016.

“Hasilnya, perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) naik pada paras RM92 bilion berbanding RM70.7 bilion pada 2016,” katanya.


PELANTAR minyak Petronas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Mac 2018 @ 2:15 AM