ABDUL Mutalib
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Segmen rumah mampu milik masih mencatatkan permintaan tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia dipacu melalui kewujudan pelbagai program rumah mampu milik kendalian agensi kerajaan persekutuan dan negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan PR1MA Malaysia Datuk Abdul Mutalib Alias berkata, situasi itu turut dibantu melalui usaha yang dilakukan pemaju swasta yang mula memberi fokus kepada pembangunan rumah mampu milik.

Menurutnya, usaha kerajaan dalam pembinaan rumah mampu milik dilihat memberi dorongan secara tidak langsung kepada pemaju swasta melakukan perkara sama.

“Saya percaya rumah mampu milik masih mendapat permintaan jika dinilai berdasarkan 1.5 juta pendaftaran atas talian yang dicatatkan melalui sistem atas talian kami,” katanya pada taklimat media sempena Ekspo Jualan Perumahan- Ke Arah Sejuta Impian, di sini.

PR1MA adalah agensi yang ditubuhkan untuk membina rumah berkualiti tinggi bagi golongan berpendapatan sederhana dengan pendapatan isi rumah antara RM2,500 hingga RM15,000 sebulan.

Sementara itu, agensi perumahan kerajaan persekutuan dan negeri menganjurkan ekspo perumahan terbesar iaitu Ekspo Jualan Perumahan - Ke Arah Sejuta Impian yang bakal menawarkan lebih 100,000 rumah mampu milik dengan harga antara RM65,000 hingga RM350,000.

Beliau berkata, ekspo itu bertujuan untuk mewujudkan sebuah pusat sehenti bagi rakyat tempatan terutama kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan pendapatan sederhana (M40) mendapatkan pelbagai maklumat mengenai rumah mampu milik termasuk daripada aspek kewangan.

“Ekspo ini adalah peluang terbaik bagi kumpulan pendapatan rendah untuk melihat dan menilai setiap projek rumah yang ditawarkan serta meninjau harga dan lokasi produk berdasarkan kemampuan masing-masing,” katanya.

Siri pertama ekspo itu akan berlangsung di Pusat Konvensyen Ipoh, Perak pada 1 hingga 5 Mac ini dan ia menawarkan 38,197 unit rumah mampu milik membabitkan projek pembangunan daripada Jabatan Perumahan Negara, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak.

Selepas Ipoh, ekspo itu akan dianjurkan di beberapa negeri lain termasuk Sabah, Pahang, Kelantan, Melaka, Johor, Kuala Lumpur dan Selangor sehingga hujung April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Mac 2018 @ 2:03 AM