AZLAN (kiri) bertukar dokumen kerjasama dengan Presiden Kolej Universiti Geomatika, Prof Dr Mohaizi Mohamad di Kuala Lumpur, semalam.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Avon Cosmetics (M) Sdn Bhd (Avon Malaysia) akan memperkenalkan platform e-dagang pertengahan tahun ini sebagai langkah memperkukuhkan kehadirannya dalam pasaran runcit tempatan.

Ketua Bahagian Saluran Alternatif Jabatan Pembangunan Perniagaan Avon Malaysia, Azlan Ismail berkata, platform terbabit membuktikan Avon dapat bersaing dengan jenama lain dalam pasaran produk kosmetik dan kecantikan negara.

Beliau berkata, Avon menjalankan perniagaan melalui ahli atau ejen serta francaisi yang mempunyai lesen membuka butik yang setakat ini lebih 250,000 ahli, 20,000 ejen aktif serta 180 butik Avon di seluruh negara.

“Kita akan memperkenalkan platform e-dagang untuk Avon Malaysia pertengahan tahun ini dan ketika ini, syarikat banyak mendapatkan khidmat rundingan serta kepakaran luar negara untuk melaksanakan perkara ini.

“Kewujudan platform ini melengkapkan ekosistem serta capaian Avon ke kawasan yang tidak mempunyai ahli, ejen atau butik Avon, sekali gus meningkatkan jumlah pelanggan,” katanya selepas majlis kerjasama antara Avon dan Kolej Universiti Geomatika di sini, semalam.

Majlis itu menyaksikan usaha sama Avon memperkasa pembangunan pengajian vokasional dalam bidang kecantikan bersama Kolej Universiti Geomatika untuk melahirkan usahawan muda dalam bidang itu.

Mengenai penguasaan syarikat dalam pasaran kecantikan negara ketika ini, Azlan berkata, Avon mempunyai penguasaan pasaran kurang lima peratus daripada sektor kecantikan yang bernilai RM3 bilion.

“Penguasaan ini boleh dianggap besar bagi segmen kecantikan menjadikan kami optimis dengan pasaran semasa dan mencatatkan keuntungan setiap tahun.

“Pada tahun ini, kita yakin meraih sasaran jualan seperti tahun sebelumnya khususnya dengan pengenalan platform e-dagang tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata, sebagai pemain industri runcit, Avon tidak terlepas daripada cabaran ekonomi semasa di samping kehadiran pesaing yang baru muncul seperti usahawan kosmetik segera.

“Untuk menangani situasi ini, syarikat mesti lebih kreatif dan berinovasi memandangkan cabaran hadir dari luaran mahupun dalaman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2018 @ 3:57 AM