HOFBAUER
HM Digital

Kuala Lumpur: Nestlé (Malaysia) Berhad akan memberi tumpuan meningkatkan kecekapan secara berterusan di seluruh rangkaian bekalannya bagi memastikan pertumbuhan mapan syarikat terutama dalam situasi yang dijangka mencabar tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alois Hofbauer berkata, kumpulan itu mengambil pendekatan melabur semula dengan penjimatan yang dicapai bagi pertumbuhan masa depan.

“Kami akan terus berpandukan matlamat Nestlé untuk meningkatkan kualiti hidup dan menyumbang ke arah masa depan lebih sihat untuk meneruskan usaha membekalkan produk bermutu tinggi dengan nilai hebat kepada rakyat,” katanya di sini, baru-baru ini.

Kumpulan itu mencatatkan keputusan kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 dengan peningkatan hasil lebih tinggi iaitu 3.9 peratus kepada RM5.3 bilion tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.

Pertumbuhan positif itu dipacu prestasi domestik dan eksport kukuh dengan peningkatan 4.1 dan tiga peratus.

Beliau berkata, prestasi kukuh kumpulan dicapai melalui pelaburan strategik dalam beberapa kempen termasuk Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Hari Sarapan Milo dan Stop The Count.

“Tumpuan berterusan Nestle terhadap inovasi dan penambahbaikan menyumbang kepada keputusan positif dengan produk baru dan membantu menjana pertumbuhan perolehan kami,” katanya.

Hofbauer berkata, kumpulan juga meraih peningkatan 6.2 peratus bagi keuntungan sebelum cukai kepada RM814 juta dan peningkatan 1.4 peratus untuk keuntungan selepas cukai kepada RM646 juta dibantu melalui pengurusan kos berhemat dan pelaburan pemasaran serta perdagangan efektif.

“Pencapaian ini membolehkan kumpulan menampung kesan cukai positif pada 2016,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2018 @ 3:55 AM