DARI kiri, Pengurus Stor AEON, Fong Ken Yen, Poh, Pengurus Besar Operasi Perniagaan Khas AEON, Ahmad Fazli Abu Bakar dan Pengarah Eksekutif Perniagaan AEON Co (M) Bhd, Hiroyuki Kotera pada perasmian Pasaraya AEON Maxvalu Prime, The Sphere, Bangsar South.
Sofyan Rizal Ishak
news@nstp.com.my

Kuala Lumpur: AEON CO (M) Bhd (AEON) merancang membuka satu hingga tiga cawangan baru pasar raya Maxvalu Prime bagi tahun ini dengan purata pelaburan RM5 juta bagi setiap cawangan.

Pengarah Eksekutifnya, Poh Ying Loo berkata pada peringkat awal pembukaan cawangan pasar raya itu akan memfokus di kawasan bandar sekitar Lembah Klang sebelum diperluaskan ke luar Lembah Klang pada masa depan.

“Tahun ini, kami juga merancang untuk membuka AEON General Merchandise Stores di Kuching, Sarawak dengan pelaburan RM200 juta hingga RM300 juta,” katanya di majlis pelancaran cawangan Maxvalu Prime dan farmasi AEON Wellness di sini, semalam.

Ia menyaksikan AEON membuka cawangan ketiga Maxvalu Prime di Bangsar South selepas pembukaan cawangan pertama di Sunway Velocity, Cheras dan kedua di Evo Bangi.

Beliau berkata, pembukaan cawangan ketiga terbaru itu dijangka melonjakkan komuniti beli-belah di Bangsar South kerana kawasan itu memiliki kepadatan tenaga kerja dan penduduk yang tinggi berikutan ia terdiri daripada kombinasi bangunan komersial dan kediaman.

“Kami menyasarkan seramai 15,000 hingga 20,000 pengunjung akan membeli-belah di pasar raya ini pada setiap minggu dengan menawarkan pengalaman beli-belah baik kepada pelanggan melalui penyediaan pelbagai produk dan ruang makanan serta minuman,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Poh berkata, AEON optimis industri peruncitan negara mampu mencatatkan prestasi positif berikutan jangkaan sentimen pengguna yang lebih baik pada tahun ini.

“Pengumuman inisiatif berkaitan pengguna pada Bajet 2018, pengukuhan nilai ringgit dan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang stabil ini menyumbang kepada sentimen positif sekali gus memberi manfaat kepada peruncit di Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2018 @ 8:30 AM