Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: LBS Bina Group Berhad (LBS), pemaju perbandaran terkemuka di negara ini menggalakkan lebih ramai kakitangan perkhidmatan awam untuk memohon Projek Perumahan Awam 1Malaysia (PPA1M) Mercu Jalil yang terletak di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Projek yang dibangunkan LBS itu kini dibuka untuk pemohonan dengan sambutan diterima dalam kalangan penjawat awam sangat positif dengan kumpulan pertama yang layak menjadi pemilik rumah sudah menandatangani perjanjian jual beli dan penyerahan unit, baru-baru ini.

Pengarah Urusan Kumpulan LBS Tan Sri Lim Hock San berkata, pihaknya menyokong inisiatif kerajaan yang membantu menjadikan rumah lebih dapat miliki dan berada dalam jangkauan untuk kategori rumah mampu milik.

“Kami sangat gembira melihat lebih ramai kakitangan perkhidmatan awam memiliki kediaman di sini dan kami masih menerima pemohonan serta mengalukan mereka untuk merebut peluang ini sebagai langkah pertama bagi memiliki rumah sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini.

PPA1M Mercu Jalil terdiri daripada dua blok pangsapuri 47 tingkat dan memiliki sebanyak 1,360 unit kediaman di mana projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM354 juta itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh empat tahun akan datang.

Beliau berkata, setiap unit mempunyai luas binaan bermula daripada 1,000 hingga 1,200 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik mandi di mana ia ditawarkan pada harga berpatutan bermula dari RM245,000.

Menurutnya, PPA1M Mercu Jalil yang dibina di kawasan seluas 5.43 hektar itu turut menawarkan tempat letak kereta setinggi sembilan tingkat, dewan serbaguna, taman permainan kanak-kanak, taska, laluan joging, bilik solat dan kawasan hijau untuk aktiviti komuniti serta rekreasi.

“PPA1M juga memiliki lokasi strategik kerana ia dikelilingi pelbagai kemudahan dan dapat diakses melalui Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Lebuhraya Bukit Jalil, Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Maju Expressway (MEX) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 12:44 AM