NORIZAM Tukiman
Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Pelabur Strategik Melayu Malaysia (PPSMM) menggalakkan orang ramai mengambil peluang untuk menjadi pelabur dan menceburi pasaran saham patuh syariah.

Presidennya Norizam Tukiman berkata, pasaran saham dengan hampir 70 peratus adalah saham patuh syariah mesti direbut oleh semua pelabur terutama dalam kalangan Melayu.

“Saham syariah juga boleh menjana untung lebih luar biasa jika dibanding dengan yang bukan syariah. Sebagai contoh, lihat saja kemampuan syarikat KPJ memberi dividen konsisten sepanjang 10 tahun kebelakangan ini.

“Begitu juga saham Ajinomoto yang sudah pun berada pada RM20 seunit yang menunjukkan trend menaik,” katanya, di sini.

Menurutnya, sebanyak 76 peratus atau 686 syarikat adalah berstatus syariah dan kebanyakan syarikat terbabit mencatatkan kenaikan untung, antaranya ialah Prospek dan Dnex yang berjaya merekodkan untung luar biasa.

Norizam berkata, selain itu terdapat saham halal syariah makanan seperti Nestle yang berjaya mencecah RM100 seunit pertama kali dalam sejarah penyenaraian.

“Nestle adalah pengeluar produk makanan dan minuman halal yang paling banyak memiliki sijil halal dan terbesar dunia.

“Potensi saham halal syariah sangat luar biasa untuk beberapa tahun mendatang dan dunia sedang memberi tumpuan kepada saham halal patuh syariah kerana industri ini sangat besar,” katanya.

Beliau berkata, sekarang semakin ramai pelabur sudah lebih matang dengan membuat kajian asas, teknikal analisis sebelum membeli saham.

“Pelabur perlu mempunyai keberanian untuk melabur dalam bursa saham dan paling penting dengan ilmu dan petunjuk sistem risiko yang betul.

“Ini kerana ramai yang mencuba melabur tetapi gagal dan rugi akibat tiada rujukan dan mentor sebelum keputusan dibuat,” katanya.

Norizam berkata, pihaknya mencadangkan pelabur membeli saham yang mempunyai potensi pertumbuhan yang tinggi terutama sektor teknologi maklumat, syarikat berorientasikan eksport dan makanan halal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 1:00 AM