MOHAMED Hassan Kamil
HM Digital

Kuala Lumpur: Syarikat Takaful Malaysia Bhd (Takaful Malaysia) mencatatkan peningkatan keuntungan selepas cukai dan zakat (PATZ) sebanyak 18 peratus kepada RM205.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 berbanding RM174.5 juta bagi tahun sebelumnya.

Ia turut mencatatkan peningkatan pendapatan operasi sebanyak lapan peratus kepada RM1.99 bilion bagi tahun lalu berbanding RM1.84 bilion pada tahun sebelumnya dengan sumbangan kasar mencatatkan peningkatan lapan peratus kepada RM1.70 bilion berbanding RM1.58 bilion pada 2016.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Datuk Seri Mohamed Hassan Kamil berkata, keuntungan kumpulan melepasi sasaran dan buat kali pertama melebihi RM200 juta sejak penubuhannya.

“Kedudukan yang cemerlang ini adalah kejayaan penting bagi kumpulan memandangkan kami secara konsisten mencatatkan peningkatan keuntungan bersih dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 27 peratus sejak memulakan Program Transformasi pada 2009,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mohamed Hassan berkata keputusan itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh pendapatan yang lebih tinggi daripada perniagaan Takaful Keluarga dan Takaful Am.

Menurutnya, kumpulan itu mengekalkan kedudukan sebagai peneraju pasaran dalam perniagaan Takaful dengan sumbangan kasar Takaful Am meningkat 20 peratus berbanding tahun kewangan sebelumnya sebanyak RM591 juta daripada kelas kebakaran dan motor.

“Keputusan itu merupakan gambaran jelas mengenai keupayaan dan kekuatan operasi kumpulan semasa halangan besar yang dihadapi oleh industri insurans di samping bukti terhadap pelaksanaan strategi dan asas kukuh yang dibangunkan selama ini.

“Kami juga membuat pelaburan besar dalam peralatan, aplikasi dan teknologi baru untuk meningkatkan kecekapan operasi dan pengalaman pelanggan melalui strategi digital dan terus membangunkan hubungan bancassurance kukuh dengan pelbagai rakan bank melalui pengenalan penyelesaian produk baharu untuk meningkatkan kadar pertumbuhan dan kekal di hadapan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 3:06 AM