HEALY (kanan) bersama Dr Sahzril (kiri) dan Soh pada pelancaran Fitbit Ionic, semalam.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Fitbit, jenama peranti boleh pakai (wearable) nombor satu di dunia memperkenalkan jam pintar terbarunya Ionic yang mempunyai ketahanan jangka hayat bateri sehingga lima hari.

Pengarah Pemasaran Produk Fitbit APAC Alexander Healy berkata, peranti itu dilengkapi ciri Fitbit Coach, alat GPS tersedia di dalam dan mampu memainkan muzik menerusi storan dalaman sehingga 300 lagu.

Beliau berkata, Ionic mampu menyimpan pelbagai aplikasi utama telefon selain melancarkan notifikasi serta fungsi lain seperti Fitbit Pay yang membolehkan bayaran dibuat menerusi jam pintar ini.

Ionic dikuasakan oleh Fitbit OS, sistem operasi baru khusus untuk jam tangan pintar yang sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa bagi memberi pengalaman luar biasa kepada pengguna.

“Jam pintar ini ditawarkan pada harga harga RM1,399 seunit dan mempunyai pengesan SpO2, mampu menjejak keadaan kesihatan pengguna dengan lebih mendalam seperti apnea tidur,” katanya pada majlis pelancaran Ionic di sini, semalam.

Hadir sama Pengurus Negara Asia Tenggara, Hong Kong dan Taiwan Fitbit, Louis Lye serta pelatih peribadi terkenal Dr Sahzril Shaharuddin dan Joanna Soh.

Pada majlis sama, Fitbit turut melancarkan dua produk baru untuk pasaran tempatan iaitu fon telinga tanpa wayar, Fitbit Flyer pada harga RM590 dan penimbang berat pintar Fitbit Aria 2 berharga RM620.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 12:02 AM