CHEW (lima dari kiri) pada majlis pelancaran jambatan penghubung Cheras LeisureMall di Stesen MRT Taman Mutiara, semalam.
Nabil Basaruddin
nabil.basaruddin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: PPB Group Berhad (PPB) berhasrat membangunkan projek kediaman mampu milik bagi mengukuhkan kehadirannya dalam segmen hartanah negara.

Ketua Pegawai Operasi Bahagian Hartanah Kumpulan PPB Chew Hwei Yeow berkata, setakat ini syarikat meninjau beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang untuk melaksanakan projek rumah mampu milik.

“Ini termasuk perancangan jangka masa panjang dan syarikat mencari lokasi bertepatan bagi mendirikan rumah mampu milik berikutan kapasiti bank tanah ketika ini tidak bersesuaian untuk projek hartanah berkenaan.

“Dalam mempertingkatkan jumlah bank tanah, kami berbincang dengan beberapa pihak sebelum mencapai kata sepakat,” katanya selepas majlis pelancaran jambatan penghubung Cheras LeisureMall ke Stesen MRT Taman Mutiara di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan PPB Lim Soon Huat dan selebriti popular Amber Chia.

Jambatan penghubung sepanjang 60 meter (m) itu dibuka bagi kegunaan orang ramai untuk ke pusat beli-belah berkenaan dari Stesen MRT Taman Mutiara dan menyediakan lot kedai di sepanjang kawasan pejalan kaki itu.

Mengulas mengenai projek baru yang akan dilancarkan tahun ini, Chew berkata, pada suku ketiga tahun ini syarikat memperkenalkan The Linc, pusat runcit dan komersial seluas 1.21 hektar antara Jalan Ampang dan Jalan Tun Razak.

Katanya, meskipun bekalan hartanah komersial seperti pusat beli-belah dilihat berlebihan dalam pasaran, pihaknya optimis dengan strategi dan sasaran pasaran yang tepat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2018 @ 1:11 AM