PEMBINAAN PIC berada di kemuncak dengan 63,000 pekerja.
Mohamed Farid Noh
farid_noh@bh.com.my

Pengerang: Petronas menyasarkan untuk mencapai 98 peratus kemajuan pembinaan di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), projek pelaburan terbesarnya di Malaysia yang dibangunkan di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) menjelang akhir tahun ini.

Ketua Jabatan Pemegang Kepentingan, Komunikasi dan Pengurusan Risiko Petronas Refinery and Petrochemical Corp (PRPC) Sdn Bhd Datin Anita Azrina Abdul Aziz berkata, sasaran itu berikutan tenaga kerja di tapak pembinaan PIC kini berada pada kemuncaknya dengan jumlah 63,000 pekerja.

Katanya, kemajuan pembinaan di PIC kini sudah mencapai 84 peratus kemajuan pembinaan yang dicatatkan pada Disember lalu.

“Pada masa ini, Petronas sudah menggunakan 60 peratus nilai pelaburan pembangunan PIC yang bernilai AS$27 bilion (RM105 bilion).

“Kita optimis kemajuan pembinaan PIC akan mencapai 98 peratus menjelang akhir tahun ini dengan sumber tenaga kerja yang berada pada kemuncaknya ketika ini.

“Sasaran berkenaan dibuat berikutan kejayaan Projek Air Mentah RAPID (PAMER) dan Terminal Regasifikasi 2 (RGT2) yang siap sebulan lebih awal dari perancangan.

“Kita jangkakan PIC akan memulakan operasinya pada suku pertama 2019,” katanya pada sidang media selepas sesi penerangan kemajuan PIC di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC), di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Jabatan Kesihatan, Keselamatan, Perlindungan dan Persekitaran PRPC Saifuddin Shah Sowkkatali.

Ditanya sama ada Petronas bakal bekerjasama dengan rakan pelabur baru dalam pembangunan PIC selepas ini, Anita berkata, pihaknya sentiasa mencari peluang bekerjasama dengan rakan pelabur baru.

“Kita bersedia bekerjasama dengan rakan pelabur baru yang mahu bekerjasama membangunkan projek pelaburan terbesar kami di Malaysia,” katanya.

PIC merangkumi kawasan seluas 2,526 hektar atau 6,242 ekar yang bersamaan dengan 3,500 padang bola sepak yang mula dilaksanakan pada 2014 selepas diluluskan kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2018 @ 12:40 AM