MOHD Suffian (kiri) menyampaikan replika cek kepada Dr Mohd Syukri sambil diperhatikan Kamarul Ariffin (tiga dari kanan), Nazlee (dua dari kanan) dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Berhad Ferdaus Toh Abdullah.
Nasuha Badrul Huzaini
nasuha@bh.com.my

Shah Alam: Affin Islamic Bank Bhd (Affin Islamic) akan melancarkan produk pembiayaan Islamik yang pertama untuk Amanah Saham Bumiputera (ASB) menjelang akhir suku pertama tahun ini.

Ketua Eksekutifnya, Nazlee Khalifah berkata, pihaknya melihat potensi pertumbuhan yang signifikan menerusi pengenalan produk berkenaan.

“Ia dijangka menyumbang kepada pertumbuhan Affin Islamic yang disasar mencecah 10 hingga 15 peratus tahun ini.

“Selain itu, pertumbuhan berkenaan akan disumbangkan pembiayaan gadai janji, auto, perniagaan dan juga projek berkaitan kerajaan,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran kerjasama strategik dengan Management & Science University (MSU) di sini, semalam.

Kerjasama berkenaan menyaksikan Affin Islamic menawarkan pembiayaan pelan pendidikan melalui Affin Pembiayaan Pendidikan-i sehingga RM150,000 kepada pelajar MSU yang layak dengan tempoh pembiayaan selama 15 tahun.

Berdasarkan konsep Ijarah, pembiayaan itu terbuka kepada pelajar berusia 18 hingga 45 tahun yang akan mengikuti program diploma, ijazah sarjana muda atau pasca siswazah.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Pengerusi Affin Islamic Mohd Suffian Haron, Ketua Eksekutif Affin Bank Bhd Kamarul Ariffin Mohd Jamil dan Presiden MSU Professor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid.

Mengulas mengenai kerjasama itu, Nazlee berkata selain MSU, pihaknya juga berunding dengan 16 lagi institusi pendidikan swasta bagi menawarkan pakej berkenaan.

“Objektif pakej pembiayaan seperti ini ditawarkan bukan berasaskan keuntungan, tetapi lebih kepada manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 1:25 AM