CHOON Yee Seiong (tiga dari kanan) melihat laporan tahunan di Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Poh Kong.
Alzahrin Alias
zahrin@bh.com.my

Kuala Lumpur: Poh Kong Holdings Bhd (Poh Kong), peruncit dan pengilang emas terbesar di Malaysia menjangkakan harga emas akan meningkat sehingga AS$1,350 (RM5,346) satu auns dalam tempoh terdekat.

Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulannya Datuk Choon Yee Seiong berkata, peningkatan itu disebabkan sentimen pengguna yang menggalakkan selain suasana geopolitik serantau serta ketidakpastian dalam ekonomi global.

Beliau berkata, berdasarkan analisis unjuran emas global, harga logam berkenaan boleh mencecah paras tertingginya pada AS$1,500 (RM5,940) pada penghujung tahun ini.

“Secara umumnya, harga komoditi itu mengalami peningkatan 13.5 peratus kepada AS$1,300 (RM5,147) satu auns daripada AS$1,200 (RM4,751) satu auns pada 2016.

“Bagi 2018, logam berharga itu dijangka terus meningkat disebabkan ketidakstabilan ekonomi dunia dan ringgit menguatkan berbanding dolar Amerika Syarikat,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat di Kuala Lumpur, semalam.

Mengulas lanjut, Choon berkata, syarikat optimis peningkatan harga emas global itu bakal membantu prestasi kewangan Poh Kong pada tahun kewangan 2018.

Beliau berkata, prestasi kewangan syarikat tahun ini juga akan turut disumbang dengan pembukaan tiga kedai barunya dengan anggaran perbelanjaan modal antara RM9 juta dan RM15 juta.

“Dua kedai terletak di Johor Bahru antara lokasi utama yang menyumbang kepada jualan emas syarikat dan pembukaan dua kedai ini dijangka mampu menguatkan lagi pendapatan kami.

“Selain itu, Poh Kong juga akan bekerjasama dengan beberapa platform e-dagang bagi memasarkan produk emas kami secara atas talian,” katanya.

Keuntungan sebelum cukai Poh Kong bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Julai 2017 meningkat RM20 juta kepada RM37.48 juta daripada RM17.48 juta dalam tahun kewangan sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2018 @ 1:08 AM