Sri Ayu Kartika Amri
kartika@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pelaksanaan langkah liberalisasi tarif insurans motor oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sejak enam bulan lalu menyaksikan banyak produk baru diperkenalkan pengendali insurans.

Pengerusi Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) Anthony Lee berkata, kira-kira 100 produk tambahan diluluskan tahun lalu untuk memberi lebih banyak tawaran kepada pengguna.

Katanya, liberalisasi terus mendorong syarikat insurans menjadi lebih inovatif, sekali gus membolehkan pengendali menghasilkan produk yang memenuhi keperluan pengguna pada kadar berpatutan dan fleksibel.

“Industri harus berinovasi dan PIAM bekerjasama dengan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dalam melaksanakan kempen kesedaran supaya pengguna peka terhadap insurans yang dipilih.

“Pengguna perlu membandingkan perlindungan yang diberikan bagi setiap produk yang dipilih untuk memastikan risiko mereka dilindungi sepenunya mengikut keperluan masing-masing,” katanya.

Lee berkata, melalui liberalisasi ini pengguna diberi kuasa membuat pilihan sendiri dan menentukan apa yang mereka mahu.

Menurutnya, PIAM dan MTA akan terus bergerak bersama bagi kempen kesedaran supaya pengguna mendapat lebih banyak maklumat diperlukan.

Pihaknya menyarankan pengguna membuat perbandingan tarif insurans atau takaful kenderaan dengan melawat laman web PIAM dan MTA.

Beliau berkata, pengguna sebenarnya mendapat manfaat daripada liberalisasi. Antaranya ialah pelbagai perkhidmatan, perlindungan mengikut keperluan pengguna dan perbandingan pilihan.

“Pemandu yang baik pasti mendapat manfaat seperti rebat, diskaun tarif dan paling penting kadar kemalangan di jalan raya dapat dikurangkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2018 @ 9:53 AM